Hiburan

The Greatest Showman Persembahan Muzikal Terhebat!

The Greatest Showman adalah hiburan sempurna yang menggabungkan pelakon-pelakon cemerlang di samping persembahan iringan muzik bertenaga yang pasti menambat mata dan tumpuan anda sepanjang tayangan.

Biopik muzikal ala Broadway yang berlatarkan pertengahan abad ke-19 di Amerika Syarikat, filem sensasi ini menggambarkan kisah legenda Phineas Taylor “PT” Barnum, pengasas Ringling Bros. dan Barnum & Bailey Circus dan perniagaan pertunjukan yang dilakonkan oleh Hugh Jackman.

Filem ini memaparkan kisah perjuangan PT Barnum yang berusaha keluar dari kemelut kemiskinan untuk menjadi seorang penghibur yang pertama dan yang terhebat dalam bidang pertunjukan sarkas.

Hugh Jackman yang menjayakan watak Barnum diperkenalkan sebagai seorang yang hidup melarat dan dipandang hina oleh masyarakat kerana kemiskinan. Barnum walau bagaimanapun, membesar menjadi insan yang baik kerana didorong oleh semangatnya dalam mengejar hasrat hati dan memperisterikan Charity (Michelle Williams), wanita dari golongan atasan.

Ceria, berwarna-warni dan berani dalam menyampaikan mesej, filem itu bermula dengan muzik rancak dan dengan segera beralih ke muzik dramatik mengikut plot cerita. Paparan pentas untuk keseronokan sarkas akan membuatkan anda sentiasa dalam mood untuk menonton aksi seterusnya.

Paling jelas digambarkan dalam filem ini adalah tema utamanya. Di antara yang ingin disampaikan oleh pengarah, Michael Garcey adalah penerimaan, toleransi, diskriminasi di abad ke-19, konservatisme, keyakinan terhadap diri sendiri serta keberanian untuk bermimpi dan berusaha dalam merealisasikannya.

Terdapat juga idea yang mendasari bahawa sarkas bukanlah semata-mata tempat untuk orang yang “aneh” seperti yang dimomokkan oleh orang ramai, tetapi sarkas adalah tempat perlindungan dan perkembangan bakat.

Aksi tarian dan nyanyian yang memukau

Walaupun Hugh Jackman mencuri tumpuan, hampir kesemua pelakon lain menonjolkan kedudukan mereka sendiri. Malah Zac Efron menunjukkan kemahirannya, membuktikan magisnya dari High School Musical masih berbisa.

Lagu-lagu yang dinyanyikan sepanjang penceritaan pasti membuatkan penonton meremang. Lirik yang mendalam dan rentak yang mengghairahkan hasil gubahan pemenang Anugerah Academy, Benj Pasek dan Justin Paul, pasti akan bermain-main diingatan.

Muzik, lagu, nyanyian, tarian, penceritaan dan bahkan kostum yang hampir sama dengan muzikal Broadway menjadikan filem ini sebagai ‘film of the year’. Jika anda peminat filem muzikal, jangan lepaskan peluang untuk menonton naskhah muzikat terhebat ini!

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker