AntarabangsaIsu Semasa

Tentera AS Mengaku ‘Bunuh’ 817 Orang Awam

Pakatan tentera yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) untuk memerangi kumpulan pengganas IS di Syria dan Iraq mengakui bahawa mereka telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 817 orang awam susulan serangan udara yang dilancarkan sejak tahun 2014 lagi.

Walaupun kerajaan Iraq telah mengisytiharkan IS sudah pun ‘terkubur’, masih banyak ‘kerja’ yang perlu dilakukan untuk memastikan kumpulan militan itu benar-benar tewas.

Pakatan tentera bergelar Combined Joint Task Force for Operation Inherent Resolve (CJTF-OIR) itu berkata, orang-orang awam “dibunuh secara tidak sengaja” dan terdapat hampir 700 laporan mengenainya pada masa ini.

Walau bagaimanapun, memetik laporan Independent UK, golongan pakar menyatakan bahawa jumlah sebenar orang awam yang terkorban adalah jauh lebih banyak daripada angka yang didedahkan oleh pihak tentera.

Sementara itu, akhbar New York Times pula mendedahkan bahawa pakatan itu telah melancarkan lebih daripada 27,500 serangan dron sepanjang operasi dengan menggunakan peralatan senjata dari era Perang Vietnam dan zaman moden, antaranya adalah pesawat pengebom B-52 dan dron Predator.

Jurucakap tentera AS, Mejar Shane Huff, menyifatkan operasi itu sebagai “salah sebuah kempen serangan udara yang paling utama dalam sejarah ketenteraan”.

Pada bulan November tahun ini sahaja, terdapat 695 laporan terbuka berhubung kematian orang awam akibat serangan udara yang dilakukan pada bulan-bulan sebelumnya, namun CJFT-OIR hanya menerima 9 laporan.

Menurut pendedaan terkini pakatan tersebut, jumlah kematian orang awam daripada bulan Ogos 2014 sehingga November 2017 adalah seramai 1,799 nyawa.

Sepanjang tempoh 3 tahun itu pula, hanya 208 laporan yang dikatakan sahih dan boleh dipercayai.

Namun, pihak tentera tidak memberi sebarang komen apabila disoal tentang kaedah apa yang digunakan untuk mengenal pasti perbezaan laporan yang sahih atau sebaliknya, sekali gus menimbulkan keraguan ramai pihak mengenai kredibiliti laporan yang didedahkan.

Dalam pada itu, ujar CJTF-OIR dalam satu kenyataan, kerajaan Iraq mengisytiharkan pembebasan kawasan-kawasan utama daripada cengkaman militan IS pada 10 Disember.

Namun, IS masih cuba untuk menghidupkan semula rangkaian serantau dan masih kekal sebagai ancaman global kerana kemampuan mereka untuk “merancang dan menginspirasikan” tindakan keganasan di seluruh dunia.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker