Isu SemasaTempatan

Sebelum Membeli Rumah, Lakukan 5 Perkara Ini Terlebih Dahulu

Memiliki rumah sendiri merupakan impian setiap individu, khususnya bagi mereka yang sudah bekerjaya dan mempunyai keluarga.

Walau bagaimanapun, ia amat penting untuk memastikan bahawa rumah yang ingin didiami itu adalah selamat dan bebas daripada sebarang elemen negatif.

Jadi sebelum membeli/menyewa rumah, pastikan anda melakukan beberapa perkara berikut terlebih dahulu:

 

1. LAWAT KAWASAN PERUMAHAN

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah melawat kawasan perumahan. Tumpukan perhatian anda terhadap keadaan sekeliling, termasuk harta benda awam di kawasan berkenaan.

Kerosakan harta benda awam akibat vandalisme yang tidak terkawal ‘menggambarkan’ sikap komuniti di kawasan kejiranan itu.

Selain itu, pastikan anda periksa jika terdapat rumah-rumah yang terbengkalai.

Sekiranya bilangannya tinggi, elakkan daripada menetap di kawasan itu kerana ia selalunya menjadi sarang penagih dadah atau kegiatan-kegiatan jenayah yang lain.

 

2. PANTAU KEGIATAN WAKTU PAGI DAN MALAM

Masa memainkan peranan yang amat penting, dan keadaan ternyata berbeza dari pelbagai aspek pada waktu pagi dan malam.

Oleh itu, anda digalakkan untuk melakukan pemantauan di kawasan perumahan yang anda minati pada waktu malam juga.

Ingat, kewujudan geng-geng motosikal atau gengster merupakan ‘petanda’ bahawa kawasan itu tidak berapa selamat untuk didiami.

 

3. MINTA PANDANGAN PENDUDUK

Selepas melawat kawasan, cara yang paling berkesan untuk mengetahui keadaan di kawasan kejiranan tersebut adalah untuk bertanya sendiri kepada penduduk-penduduk yang telah lama menetap di sana.

Cari masa dan tempat yang sesuai untuk memulakan perbualan dengan mereka.

Sebagai contoh, anda boleh mendekati penduduk di kedai-kedai makan seperti kedai mamak ketika sarapan pagi pada hujung minggu.

Jika tidak, anda juga boleh berbual dengan pemilik restoran itu sendiri. Tanya mereka mengenai aktiviti-aktiviti harian di kawasan itu dan adakah jenayah kerap berlaku di sana.

Kemudian, minta pandangan sama ada tempat itu sesuai atau tidak untuk didiami oleh anda dan keluarga.

 

4. ELAK ‘ANCAMAN’ BINATANG BUAS

Ambil kira ancaman binatang buas sekiranya anda bercadang untuk memilih kediaman di kawasan kampung.

Ingat, ‘malang tidak berbau’. Kawasan-kawasan kampung selalunya terdedah dengan kehadiran haiwan-haiwan berbisa seperti ular dan lain-lain.

Pastikan anda mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya untuk mengelak daripada terkena sebarang serangan/ancaman haiwan.

 

5. PILIH RUMAH DEKAT DENGAN KEMUDAHAN

Tidak kira di kampung mahupun di bandar, carilah rumah yang berdekatan dengan kemudahan-kemudahan seperti sekolah, kedai runcit, balai polis, hospital, dan sebagainya.

Sekurang-kurangnya anda tidak perlu pergi jauh hanya untuk membeli barang-barang keperluan harian dan anak-anak juga boleh balik ke rumah dengan sendiri sekiranya anda tidak dapat mengambil mereka.

Jika berlaku sebarang kecemasan pula, bantuan boleh sampai kepada anda dengan segera.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker