Gaya HidupKesihatan

Mengenali Dan Memahami Epilepsi

Epilepsi merupakan sebuah keadaan yang memberi kesan terhadap otak serta menyebabkan berlakunya sawan.

Sawan pula adalah letusan aktiviti elektrik yang terdapat pada otak yang boleh menjejaskan fungsi otak secara sementara.

Tambahan lagi, epilepsi boleh menyebabkan pelbagai gejala.

Menurut National Health Service, walaupun epilepsi boleh dihadapi individu pelbagai usia, namun ia selalunya dihidapi kanak-kanak atau individu  berusia lebih dari 60 tahun.

Di samping itu, penghidap epilepsi selalunya menghidapnya buat sepanjang hayat, namun penyakit ini boleh beransur-ansur menjadi lebih baik.

PUNCA BERLAKUNYA EPILEPSI

Terdapat pelbagai jenis epilepsi. Penyebab bagi setiap jenis epilepsi adalah berbeza .

Ujar laman web Epilepsy Society, proses mengenalpasti punca berlakunya epilepsi boleh jadi  sangat sukar dan rumit.

Seseorang mungkin menghidap sawan disebabkan salah satu atau gabungan punca-punca yang berikut

  • Faktor genetik yang diwarisi, daripada salah satu atau kedua-dua ibubapa (keturunan).
  • Faktor genetik yang tidak diwarisi, perubahan (mutasi) yang terdapat pada gen individu tersebut.
  • Perubahan terhadap struktur otak, sebagai contoh, otak yang tidak berkembang, kerosakan yang disebabkan oleh kecederaan pada otak, jangkitan seperti meningitis, angin ahmar atau ketumbuhan (tumor).

Teknologi imbasan, seperti Magnetic Resonance Imaging (MRI), boleh menunjukkan jika salah satu keadaan ini sedang berlaku serta menjadi punca bagi epilepsi yang dihidapi.

GEJALA EPILEPSI

Menurut Healthline, sawan adalah gejala utama  bagi epilepsi. Gejalanya berbeza bergantung pada individu serta jenis-jenis sawan.

Terdapat dua jenis sawan yang utama. Sawan menyeluruh menyerang keseluruhan bahagian otak. Sawan fokal, atau sawan separa, hanya menyerang sebahagian otak.

Gejala bagi sawan fokal (separa)

Terdapat dua jenis sawan separa: sawan separa mudah dan sawan separa kompleks

Sawan separa mudah tidak mengakibatkan hilang kesedaran. Gejalanya termasuklah:

  • perubahan kepada deria rasa, bau, penglihatan, pendengaran, atau sentuhan
  • pening
  • rasa kebas dan kekejangan pada anggota badan

Sawan separa kompleks mengakibatkan kehilangan kesedaran. Gejala-gejala lain termasuk:

  • merenung kosong
  • tidak menunjukkan tindak balas
  • melakukan pergerakan berulang

Gejala bagi sawan menyeluruh

Terdapat enam jenis sawan menyeluruh. Berikut adalah gejala-gejala mengikut jenis sawan:

Absence seizures, menyebabkan pesakit merenung kosong. Jenis sawan ini juga boleh menyebabkan pesakit melakukan pergerakan secara berulang. Sebagai contoh, tidak berhenti-henti mengapit bibir atau mengelipkan mata. Mungkin juga berlaku kehilangan kesedaran buat sementara awaktu.

Tonic seizures menyebabkan kekejangan otot.

Atonic seizures hilang kawalan terhadap otot serta boleh menyebabkan pesakit jatuh secara tiba-tiba.

Clonic seizures pergerakan otot yang berulang, terutamanya di muka, leher, dan lengan.

Myoclonic seizures pergerakan menyentak pada lengan dan kaki secara spontan.

Tonic-clonic seizures Gejala termasuk:

  • tubuh mengeras
  • tubuh bergetar
  • terbuang air kecil atau besar
  • menggigit lidah
  • kehilangan kesedaran

Selepas serangan sawan, individu mungkin tidak ingat kejadian tersebut  atau berasa tidak sihat buat sementara waktu.

PENCETUS EPILEPSI

Pencetus adalah situasi yang boleh menyebabkan sawan terhadap sesetengah penghidap epilepsi. Sesetengah kes sawan adalah disebabkan situasi tertentu. Pencetus adalah berbeza bergantung kepada individu. Namun antara pencetus biasa  adalah keletihan serta tidur yang tidak mencukupi, tekanan, alkohol, dan tidak mengambil ubat yang sepatutnya.

Bagi sesetengah individu, jika mereka dapat mengenalpasti punca tercetusnya kejadian sawan, mereka mungkin dapat mengelakkan pencetus tersebut seterusnya boleh mengurangkan kejadian berlakunya sawan.

Keletihan boleh mencetuskan sawan

KOMPLIKASI

Menurut laman web My Health, walaupun kebanyakan pesakit epilepsi boleh menjalani kehidupan secara aktif, namun mereka berisiko kepada dua keadaan yang merbahaya iaitu status epileptikus dan kematian secara mengejut.

Status epileptikus adalah serangan sawan yang berulang-ulang yang berpanjangan. Hal ini boleh menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri.

Keadaan ini boleh dirawat dengan pelbagai ubat anti-epileptik serta boleh mengancam nyawa.

Tidak diketahui mengapa risiko kematian mengejut dalam kalangan penghidap epilepsi semakin meningkat.

Walaupun risiko kematian mengejut juga terdapat dalam kalangan orang biasa, risiko bagi pesakit epilepsi mati mengejut adalah sebanyak dua kali ganda lebih daripada orang biasa.

RAWATAN BAGI EPILEPSI

Rawatan permulaan untuk epilepsi adalah ubat antisawan.

Ubat-ubatan ini membantu mengurangkan kekerapan dan keterukan sawan yang dihadapi.

Namun ia tidak boleh menghentikan sawan yang sedang berlaku serta bukannya penawar bagi epilepsi.

Antara ubat-ubatan bagi epilepsi yang biasa digunakan adalah: Levetiracetam (Keppra) lamotrigine (Lamictal) topiramate (Topamax) dan lain-lain lagi.

Ubat-ubatan ini biasanya terdapat dalam bentuk tablet, cecair, atau suntikan dan diambil sekali atau dua kali sehari.

Cara ubat-ubatan ini berfungsi adalah, pada mulanya selepas diserap oleh perut, ia akan bergerak ke otak melalui saluran darah.

Di sana ia akan mempengaruhi  neurotransmitter yang terdapat pada otak dengan mengurangkan cetusan aktiviti elektrik yang boleh menyebabkan berlakunya sawan.

Ubat tersebut kemudian akan melalui saluran pencernaan sebelum akhirnya meninggalkan tubuh menerusi air kencing.

Jika ia  tidak boleh mengurangkan bilangan kejadian sawan, pilihan lain adalah dengan menjalani pembedahan.

Pembedahan yang paling biasa dijalankan adalah reseksi. Ia melibatkan membuang bahagian otak yang menyebabkan sawan.

Pembedahan pada otak salah satu pilihan rawatan bagi penyakit epilepsi

Selalunya, dalam prosedur pembedahan yang dikenali sebagai temporal lobectomy, bahagian otak yang dikenali sebagai lobus temporal akan dikeluarkan. Dalam sesetengah kes, pembedahan ini boleh menghentikan kejadian sawan.

Dalam sesetengah pembedahan, pesakit perlu  sedar sepanjang pembedahan dijalankan.

Hal ini supaya doktor boleh berkomunikasi dengan pesakit untuk memastikan bahagian otak yang mengawal fungsi-fungsi penting seperti penglihatan, pendengaran, percakapan, atau pergerakan tidak terganggu sepanjang pembedahan.

Sekiranya kawasan otak terlalu besar atau penting untuk dibuang, terdapat satu lagi prosedur yang dipanggil pelbagai multiple subpial transectian atau pemotongan.

Dalam prosedur ini, pakar bedah perlu melukakan bahagian yang tertentu untuk mengganggu laluan saraf. Pembedahan ini adalah untuk  mengelakkan sawan daripada merebak ke kawasan otak yang lain.

Selepas pembedahan, sesetengah orang dapat mengurangkan pengambilan ubat antisawan atau tidak perlu mengambilnya langsung.

Antara risiko yang boleh berlaku ketika pembedahan termasuklah tindak balas buruk terhadap ubat pelali, pendarahan, dan jangkitan.

Pembedahan yang melibatkan otak kadang-kala boleh menyebabkan perubahan pada kebolehan berfikir seseorang.

Jadi pesakit dinasihatkan supaya berbincang tentang kebaikan dan keburukan setiap prosedur pembedahan dengan pakar bedah dan sentiasa dapatkan pendapat lain sebelum membuat keputusan muktamad.

CADANGAN PEMAKANAN BAGI PENGHIDAP EPILEPSI

Kanak-kanak penghidap epilepsi adalah disyorkan untuk mengamalkan diet ketogenik

Kandungan diet ini adalah rendah dengan karbohidrat dan tinggi dengan lemak.

Dengan mengamalkan diet ini ia  memaksa tubuh menggunakan lemak dan bukannya glukosa untuk menghasilkan tenaga menerusi proses yang dipanggil ketosis.

Diet ini memerlukan keseimbangan yang tepat antara lemak, karbohidrat, dan protein (seperti ikan, daging dan telur). Jadi cara yang terbaik adalah untuk mendapatkan nasihat pakar pemakanan.

Kanak-kanak yang mengamalkan diet ini harus dipantau secara teliti oleh doktor.

Diet ketogenik ini tidak sesuai buat semua orang. Namun jika ia diamalkan dengan betul, ia boleh mengurangkan kekerapan berlakunya sawan.

Ia mungkin lebih sesuai untuk sesetengah jenis epilepsi berbanding yang lain.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker