Isu SemasaTempatan

AWAS! Sindiket Pelaburan Sasar Pencarum KWSP

Mereka menggunakan pelbagai cara termasuk mempergunakan rakan akrab untuk memikat pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menyertai sesuatu skim pelaburan.

Pencarum KWSP kini menjadi sasaran kerana mereka dianggap antara “orang berduit” di mana pencarum berpeluang atau layak mengeluarkan semua simpanan mereka apabila mencapai usia 55 tahun.

MODUS OPERANDI

1. Panggilan telefon

Kes penipuan paling banyak dikesan adalah melalui panggilan telefon yang menghantar mesej dengan mengatakan mahu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa dan mangsa biasanya disuruh menukar nombor pin untuk dimasukkan sejumlah wang yang banyak ke dalam akaun.

Mangsa hanya menyedari tertipu apabila membuat pemeriksaan akaunnya dan mendapati sejumlah wang dalam akaun lesap.

2. Urusniaga Dalam Talian 

Ada mangsa yang tertipu melalui urusniaga melalui dalam talian di mana mereka membayar wang namun barangan tidak dihantar manakala penjual biasanya terus menghilangkan diri dan menukar nombor telefon bagi menggelak dikesan.

3. Pakej ke Mekah

Bagi kes penipuan pakej umrah dan haji, ia biasanyamelibatkan orang kenamaan dan bagi tempoh 2012 hingga September 2017 sebanyak 287 kes dicatatkan.

Mengikut rekod pada 2016 sahaja sebanyak 6 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM298,990. Mereka ini biasanya menggunakan modus operandi seperti berperwatakan alim untuk memperdayakan mangsa khususnya warga emas.

4. Skim Pelaburan Internet

Skim Pelaburan Internet pula lebih terkenal dengan generasi celik teknologi maklumat (IT) yang tegar menggunakan internet dan media sosial untuk mendapatkan maklumat serta menggunakan kemudahan dalam talian untuk berurusan.

Pelaburan ini membayangkan pulangan, faedah atau keuntungan yang besar, kebiasaannya pada kadar yang lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen yang lain dan mereka juga meyakinkan pelabur bahawa risiko pelaburan dalam skim mereka adalah sangat rendah.

Melalui laman web atau e-mel, pelabur didekati oleh pengendali skim ini dengan tawaran khidmat nasihat kewangan percuma serta pujukan untuk melabur dengan mereka. Namun individu atau syarikat pengendali skim pelaburan ini sebenarnya tidak pernah dilesenkan sebagai penerima deposit dan tidak mendapat kebenaran oleh pihak BNM.

5. Skim Dagangan Mata Wang Asing

Skim dagangan mata wang asing haram pula melibatkan aktiviti pelaburan dalam mata wang asing dengan tujuan untuk mendapat pulangan yang tinggi daripada pergerakan kadar tukaran mata wang asing.

Pelabur diumpan dengan undangan untuk menghadiri seminar dan bengkel percuma sebelum mengumpan mangsa untuk membuka akaun dagangan mata wang asing dengan sesebuah syarikat yang didakwa mempunyai dagangan mata wang lesen yang sah.

Setelah mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun tersebut, pelabur akan sentiasa diminta untuk menambah pelaburan dengan alasan kekurangan margin pelaburan awal dan untuk mengelakkan kehilangan modal.

6. Penipuan Melalui Teknologi

Penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan phishing merupakan satu lagi trend penipuan pelaburan alaf baharu dengan menggunakan perantaraan SMS dan e-mel untuk menjalankan aktiviti memancing data peribadi atau dikenali sebagai phishing.

SMS dihantar secara rawak untuk menawarkan hadiah menarik serta ganjaran hebat sama ada wang tunai atau barangan mewah, penerima yang bertuah akan dikehendaki menghubungi mereka semula untuk memberikan butiran lanjut supaya pemberian hadiah dapat dilakukan.

E-mel yang dihantar pula kononnya mengandungi notis makluman penting daripada pihak bank yang memerlukan pengguna untuk memberikan maklumat peribadi mereka seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun bank serta kata laluan akaun bank.

LANGKAH KESELAMATAN

1. Pencarum KWSP perlu sentiasa berhati-hati dengan pelbagai taktik penipuan khususnya melalui panggilan telefon dan media sosial yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

2. Kenali terlebih dahulu jenis pelaburan yang ditawarkan serta potensi pulangannya supaya pelaburan yang dilakukan tidak lebur begitu sahaja.

3. Berwaspada kegiatan pengambilan deposit secara haram di mana skim ini turut dijanjikan dengan pulangan yang tinggi.

4. Berhati-hatilah dengan sebarang tawaran melalui SMS atau e-mel yang anda terima dan pastikan dahulu bahawa sumbernya adalah daripada pihak yang sah.

5. Tidak mengklik pautan yang mencurigakan, terutamanya apabila melakukan transaksi perbankan dalam talian.

6. Sertai perkhidmatan pendidikan kewangan yang direka khas untuk membantu setiap individu belajar mengawal semula keadaan kewangan dan memupuk tabiat penggunaan kredit secara bijak.

Sumber: Malaysianaccess

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker