Hiburan

Pengembaraan Komedi Jumanji: Welcome to The Jungle

Jika anda mahukan hiburan yang santai dan bergelak hingga pecah perut pada waktu cuti ini, Jumanji: Welcome To The Jungle adalah sebuah naskhah terbaik untuk anda. Filem ini mempunyai persembahan yang cukup kelakar di samping memberi pengajaran.

Menurut Vulture, Jumanji: Welcome to The Jungle adalah sekuel kepada filem Jumanji 1995 yang diadaptasi berdasarkan buku Chris Van Allsburg yang ditulis pada 1981.

Dalam filem tahun 1995, binatang dan pemangsa dari permainan Jumanji muncul di dunia realiti. Manakala dalam versi abad ke-21 ini, empat orang remaja yang sangat berbeza personaliti diserap masuk ke dunia hutan siber di mana mereka mendapati diri mereka menjadi watak yang dipilih.

Watak pelajar skema dilakonkan oleh Dwayne Johnson sementara Karen Gillan melakonkan watak pelajar yang baik. Jack Black pula menjayakan karakter gadis sekolah yang taksub dengan media sosial dan Kevin Hart pula menjadi pelajar yang aktif dalam sukan.

Kesemua watak avatar yang dipilih adalah bertentangan dengan personaliti remaja-remaja terbabit menjadikan filem ini sebagai filem komedi yang berjaya. Babak-babak yang menunjukkan mereka cuba membiasakan diri dengan personaliti baru mereka ketika di hutan berjaya mencuit hati.

Plotnya pula cukup ringkas, sesuai untuk hiburan yang tidak berat untuk dicerna. Mereka perlu bekerjasama untuk bertahan menghadapi pelbagai rintangan maut dan mengembalikan permata yang berharga ke tempat asalnya untuk mengakhiri sumpahan Jumanji yang dicetuskan oleh Bobby Cannavale. Jika gagal, mereka akan terperangkap dalam permainan itu selama-lamanya.

Dalam menghadapi cabaran di Jumanji dengan bekalan tiga nyawa sahaja, mereka bertemu dengan Alex (Nick Jonas), seorang lelaki yang terperangkap dalam permainan itu sejak 1996.

Secara visual, lokasi Hawaii memberikan latar belakang yang menarik untuk sebuah pengembaraan fantasi. Filem arahan Jake Kasdan ini turut menampilkan babak-babak yang mencemaskan semasa mereka dalam usaha menyempurnakan misi Jumanji.

Dapatkah pelajar-pelajar yang tidak pernah bekerjasama itu menyelesaikan misi mereka di hutan Jumanji dan kembali ke dunia realiti? Untuk merasai sendiri pengalaman mengembara di hutan Jumanji, tonton filem ini di pawagam berhampiran.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker