Bisnes & Ekonomi

9 Fakta Ringkas Tentang Kopi

Adakah anda peminat tegar kopi? Sekali tidak minum kopi anda berasa tidak biasa, sakit kepala dan mudah stress? Berikut adalah maklumat yang mungkin anda tidak tahu tentang minuman berkafein popular ini.

MENGENALI ASAL-USUL KOPI

Menurut laman web Trading Sim, dianggarkan kedai kopi pertama telah dibuka pada tahun 1457 di Constantinople (kini Istanbul), di zaman moden Turki.

Kedai kopi tersebut telah membawa biji yang tidak jelas asal-usulnya dan kemudian menjadikannya minuman yang kini dikenali oleh orang ramai sebagai kopi.

Memetik laman web The Spruce, meminum kopi menjadi budaya yang sangat penting dalam kehidupan orang-orang Turki ketika itu, sehinggakan  golongan  isteri boleh meminta cerai dari golongan suami jika mereka tidak boleh menyediakan bekalan kopi yang mencukupi bagi isteri-isteri mereka.

Dari Turki, kopi dikatakan telah mengembara ke barat, ke Perancis dan Itali. Pada mulanya, kopi dikatakan merupakan minuman bagi raja-raja dan sultan, menjadikannya agak berbeza dari komoditi yang kini sering diijadikan minuman orang ramai.

KOPI DI MALAYSIA

Menurut laman web Thinking Coffee, Malaysia sendiri adalah negara pengeluar kopi, menghasilkan kira-kira 1,500,000 bag kopi pada tahun 2013/14.

Kira-kira 95% kopi yang ditanam di Malaysia, terdiri daripada tumbuhan jenis Liberica, walaupun terdapat beberapa jenis robusta dan arabica ditanam.

Menariknya, jumlah biji kopi yang diimport dan dihasilkan di Malaysia adalah sama. Anggaran penggunaan tempatan adalah pada 650,000 beg, bakinya 2,350,000 beg adalah untuk dieksport/ dieksport semula, kebanyakannya sebagai larutan kopi.

PERDAGANGAN KOPI

Dalam dunia perdagangan, sehingga tahun 1989,  kopi telah banyak dikawal selia dalam kalangan negara-negara oleh beberapa siri perjanjian perdagangan antarabangsa.

Ujar laman web Trading Sim, ia dilakukan untuk menjaga kestabilan bekalan dan permintaan serta untuk mengekalkan kestabilan harga.

Perjanjian-perjanjian ini akhirnya telah dilupakan. Bermula tahun 1990 harga kopi telah tertakluk kepada pasaran bebas.

Akibat perubahan besar ini, harga kopi telah kehilangan lebih 75% daripada nilainya dalam tempoh lima tahun selepas itu.

Harganya telah jatuh ke $ 0.77 paun pada tahun 1995, daripada paras tertinggi $ 1.34 per paun pada tahun 1989, betul-betul sebelum kopi di dagang di pasaran bebas.

Berikut adalah 9 fakta ringkas tentang kopi:

  1. Menurut data dari International Coffee Organization (ICO), kopi dianggarkan merupakan komoditi kedua paling popular yang didagangkan selepas minyak mentah

Walaupun, ia jatuh ke tempat kedua, perdagangan kopi bernilai lebih $100 bilion di seluruh dunia.

Hal ini meletakkannya di hadapan komoditi seperti gas asli, emas, gula dan jagung.

  1. Biji kopi sebenarnya adalah sejenis tumbuhan beri.

Memetik laman web Business Insider, kopi adalah sejenis biji hijau yang tersembunyi di dalam buah ceri merah  pokok kopi.

  1. Jumlah kopi yang diminum di seluruh dunia adalah lebih 500 bilion cawan setiap tahun

Dari jumlah itu, 14 bilion cawan kopi adalah kopi espresso Itali.

  1. Ladang kopi merupakan sumber mata pencarian bagi lebih 25 juta individu

Kopi ditanam di lebih 50 negara di Asia (Malaysia salah satunya) Afrika, Amerika Selatan, Amerika Tengah dan Carribean.

5. Sebiji biji kopi perlu melalui lebih 36 tangan sebelum ia sampai ke cawan anda sebagai minuman kopi, hal ini kerana ia perlu melalui lebih 23 langkah sebelum ia siap dijadikan minuman.

6. Walaupun terdapat pelbagai rasa dan jenis kopi yang berlainan, terdapat hanya dua jenis kopi yang utama        

Arabica dan robusta adalah dua jenis biji kopi yang telah ditanam dan dijual secara komersial.

Arabica adalah jenis biji yang lebih biasa ditanam (70% kopi yang dihasilkan merupakan kopi Arabica), ia  juga dianggap lebih beraroma.

Robusta adalah lebih keras dan lebih murah, ia lebih biasa digunakan dalam penghasilan kopi segera

7. 90 peratus pengeluaran kopi di dunia adalah dari negara-negara membangun.

Hasilnya pula ia banyak dinikmati oleh negara-negara perindustrian. Tiga  negara pengeluar utama kopi utama adalah Brazil, Vietnam dan Columbia

8. Kopi ‘Fair Trade’ (Perdagangan Adil) masih mewakili hanya sebahagian kecil daripada pasaran, tetapi ia adalah komoditi perdagangan adil yang paling popular di dunia.

Kopi perdagangan adil diwujudkan untuk memberi petani kopi keadaan yang lebih baik dan nilai keuntungan yang lebih tinggi.

Di bawah peraturan perdagangan adil, pihak pengimport kopi perlu berhubung secara terus dengan penanam  kopi, serta membayar harga yang lebih tinggi untuk mengekalkan hubungan itu.

Harga kopi mungkin akan turun dan naik, tetapi baru-baru ini petani kopi dalam koperasi perdagangan adil mendapat $ 1.26 / paun untuk kopi Arabica yang dihasilkan mereka, sementara harga kopi biasa adalah hanya sekitar $ 0.70 hingga $ 0.90/ paun.

Syarikat-syarikat seperti Starbucks, Dunkin’ Donuts dan McDonald’s merupakan pembekal kopi perdagangan adil.

9. Menurut World Wildlife Fund, 37 daripada 50 negara dengan kadar penebangan hutan yang paling tinggi  dari tahun 1990 hingga 1995, adalah negara pengeluar kopi.

Kopi secara tradisinya di tanam di tempat-tempat teduh. Untuk meningkatkan hasil tanaman, organisasi luar memaksa petani untuk menanam tanaman mereka di bawah sinar matahari.

Teknik baru ini melibatkan penggunaan bahan kimia serta penghapusan hutan.

Walaupun tindakan ini yang membolehkan lebih banyak pengeluaran, tetapi tindakan ini mengurangkan rasa kopi dan merosakkan habitat haiwan disekelilingnya.Jadi  kopi yang dilabel ‘shade grown’ (ditanam di bawah teduhan) atau “mesra alam” kini dijual pada harga yang lebih mahal.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker