Teknologi

Teknologi Bantu Petani Mengenalpasti Penyakit Lebih Pantas

Para petani mungkin perlu elakkan bergantung pada mata kasar mereka untuk memastikan tanaman mereka sihat.

Matt Free, pengurus sebuah syarikat pertanian, Evergreen FS – hanya baru-baru ini menyedari tentang kepentingan perkara ini.

Syarikatnya, menurut CNN, merupakan penyedia produk perlindungan tanaman seperti baja dan racun rumpai kepada petani di seluruh Illinois, Amerika Syarikat.

Selepas selama beberapa tahun menjalankan pelbagai ujian terhadap teknologi baru, Evergreen FS mendapati kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI)  dapat mengenal pasti masalah yang menyerang tanaman, seperti kehadiran kulat dan kekurangan air dalam tanaman jagung dan kacang soya berminggu-minggu sebelum kehadiran penyakit boleh disedari dengan pandangan mata kasar.

BAGAIMANA TEKNOLOGI INI BERFUNGSI?

Teknologi dari syarikat baru Ceres Imaging ini menawarkan para petani foto-foto yang diambil dari pesawat yang terbang beberapa ribu kaki di langit merentasi ladang-ladang.

Foto-foto ini kemudian dianalisa teknologi AI.

Selepas imej-imej ini diambil, Ceres menghasilkan peta yang menunjukkan masalah yang dihadapi tanaman yang terletak di ladang-ladang tersebut.

Imej yang dihasilkan teknologi ini

Pada mulanya, pasukan Free yang melawat kawasan ladang yang berkenaan tidak dapat mengesan apa-apa masalah dengan mata kasar mereka.

Namun begitu, AI tersebut terbukti betul, kerana dua atau tiga minggu kemudian tanaman tersebut telah dijangkiti penyakit.

POTENSI AI DALAM BIDANG PERTANIAN

Menurut Michael Gore, seorang profesor di Cornell College of Agriculture and Life Sciences, AI mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang pertanian.

Teknologi ini tidaklah bertindak sebagai jalan penyelesaian kepada penyakit tanaman, namun dia menjangkakan dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, ia bakal digunakan dengan lebih kerap dalam kalangan petani jagung dan kacang soya.

Terang Gore, “jika kita hanya bergantung kepada mata kasar kita, mungkin terlambat untuk merawat suatu penyakit tanaman, ” kata Gore.

“Jika kita dapat melihat sesuatu pada peringkat awal perkembangan penyakit, seperti kehadiran perosak, maka petani boleh bertindak dengan lebih cepat dan membantu mencegah kekurangan hasil.”

Bahagian  putih menunjukkan terdapat masalah dengan tanaman tersebut

Namun, teknologi ini mempunyai batasannya.

Seperti semua sistem AI, analisa hanya boleh dilakukan terhadap simpanan data yang ada pada sistem tersebut. Ia tidak boleh mendiagnosis setiap ladang tanaman dengan sempurna.

Ceres Imaging menggunakan teknologi pengesan yang mengukur panjang gelombang cahaya yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Panjang gelombang ini kemudiannya akan dianalisa untuk memberi gambaran tentang keadaan kesihatan tanaman.

Kos teknologi ini adalah antara $ 6 hingga $ 10 ekar bergantung kepada  jenis tanaman. Harga ini adalah lebih murah daripada menggunakan beberapa racun kulat.

Evergreen FS berkata ia akan mula menawarkan teknologi ini kepada petani tanaman jagung dan kacang soya semasa musim menuai tahun 2018.

MENGENAL PASTI PENYAKIT TUMBUHAN DENGAN PANTAS

“Ini adalah teknologi masa hadapan,” kata Free.

“Kini petani tidak mempunyai masa untuk pergi ke setiap ladang jadi mereka memerlukan alat untuk membuat keputusan dengan lebih cepat dan berkesan.”

Usaha mengenal pasti penyakit pada peringkat awal dapat membuat perbezaan yang signifikan dalam meramalkan jumlah hasil yang boleh dijual bagi setiap ladang.

 Ia juga menampilkan peralihan kepada pasaran tanaman secara besar-besaran serta memberi peluang untuk AI memberi kesan yang besar kepada bidang pertanian.

Sesetengah petani tomato menggunakan rangkaian kamera yang dilekat  di bumbung rumah hijau untuk memantau tumbuh-tumbuhan dan mengenal pasti masalah yang mungkin timbul pada tumbuhan.

Terdapat petani yang telah cuba menggunakan teknologi ini terhadap dron sebagai salah satu cara untuk memantau ladang mereka secara automatik.

Sementara itu, Ceres Imaging meramalkan mereka akan beralih dari menggunakan kapal terbang ke dron selari dengan perkembangan undang-undang yang semakin ringan dan kemajuan teknologi yang bertambah canggih.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker