AntarabangsaIsu SemasaPolitik

AS ‘Orang Tengah’ Yang Tidak Bertanggungjawab

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menggesa Perancis dan seluruh Eropah untuk memainkan peranan yang lebih kuat dalam usaha menyelesaikan konflik Israel-Palestin yang telah berlanjutan selama berdekad-dekad.

Tegas Abbas, beliau tidak akan terima lagi sebarang rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai keamanan di Timur Tengah susulan tindakan Presiden Donald Trump yang secara jelas berat sebelah dan lebih berpihak ke Israel apabila beliau mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota wilayah haram itu.

Selepas resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak pengiktirafan Trump baru-baru ini, Abbas bertemu dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Paris untuk membincangkan isu rundingan damai dengan lebih lanjut.

Dalam satu sidang media, Macron kekal dengan pendiriannya yang tidak berpihak dengan sesiapa, namun beliau tetap mengkritik keputusan Trump itu.

Beliau berkata, AS melakukan kesilapan apabila ia mahu menguruskan situasi di Palestin dan Israel secara unilateral dari jauh, dan penyelesaian konflik itu sepatutnya terletak di tangan kedua-dua negara berkenaan.

Memetik laporan Associated Press (AP), Abbas menegaskan bahawa AS bukan lagi orang tengah yang jujur di dalam proses bagi mencapai perdamaian tersebut.

“Kami tidak akan menerima lagi sebarang rancangan daripada AS kerana sikap berat sebelah mereka dan (tindakan) mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya ancaman AS yang mengugut untuk memotong bantuan kewangan negara-negara yang menyokong resolusi PBB itu.

“Kami menyeru negara-negara yang masih tidak mengiktiraf Palestin untuk berbuat demikian (menyokong resolusi) untuk memelihara penyelesaian di antara dua negara sebelum ia terlambat,” tambah Abbas.

Pada awal bulan ini juga, Macron telah menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya memulihkan semula rundingan damai yang tergendala dan menghentikan pembinaan penempatan haram Israel di tanah Palestin.

Selain itu, pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (EU) secara konsisten memberi sokongan padu terhadap penubuhan negara Palestin yang bebas.

Pada hari Khamis (21 Disember, 2017), Perhimpunan Agung PBB telah memperoleh undi majoriti 128 negara untuk menolak pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Hanya 9 negara sahaja yang menolak, sementara 35 buah negara lagi tidak membuat sebarang undian.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker