Isu SemasaTempatan

Mana Pergi Hasil Tangkapan Ikan Di Perairan Malaysia?

Hanya separuh daripada 800,000 tan ikan yang ditangkap di perairan Malaysia sampai ke darat setiap tahun, kata Jabatan Perikanan.

Datuk Munir Mohd Nawi, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan berkata salah satu sebabnya adalah kerana nelayan tempatan menjual tangkapan mereka kepada rakan-rakan mereka di dalam kapal asing. Perdagangan tersebut dilakukan di tengah-tengah laut.

“Jabatan sangat prihatin dan kami mengambil tindakan berterusan untuk menangani isu tersebut. Salah satunya adalah dengan mengetatkan syarat memperbaharui lesen memancing,” tambahnya lagi.

Menurut laporan The Star, kapal laut dalam mesti mencatat sekurang-kurangnya 250 tan pendaratan ikan dalam setahun bagi mereka yang menggunakan pukat tunda, dan 350 tan metrik bagi mereka yang menggunakan pukat jerut.

Hanya mereka yang membuat pendaratan minimum boleh membaharui lesen mereka.

Munir berkata pengendali bot pukat tunda yang melanggar syarat pelesenan mereka berisiko digantung atau dibatalkan lesen.

Pada masa ini, 472 pengendali bot pukat tunda telah dibatalkan lesen kerana melanggar Akta Perikanan.

Sejumlah 1,120 pengendali bot pukat tunda, dan 10% atau sekitar 100 dijangka menghadapi masalah memperbaharui lesen mereka kerana tidak memenuhi syarat pelesenan.

Ujarnya lagi, Sistem Pengenalan Automatik (AIS), serta Sistem Pemantauan Kapal (VMS), adalah antara langkah yang diperkenalkan untuk mencegah kerugian sumber-sumber perikanan.

Terdapat banyak laporan mengenai kapal Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia, terutamanya di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Melalui AIS, sebarang laporan pencerobohan akan dihantar ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Setakat ini Jabatan Perikanan telah mengesan sebanyak 128 kapal asing menceroboh perairan Malaysia melaluiĀ  sistem VMS, hampir separuh daripadanya adalah dari Vietnam.

Sejak daripada tahun 2016, terdapat 256 kes kapal asing yang ditangkap di perairan Malaysia dan aset sebanyak 180 juta telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Antara negara yang kerap melakukan kesalahan adalah Vietnam, Indonesia dan Thailand dengan sebanyak 2,199 krew kapal asing ditangkap dalam tempoh tersebut.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button