AntarabangsaIsu Semasa

Ramai Pelarian Konflik Marawi Masih Belum Pulang

Konflik bersenjata di Bandar Marawi, Filipina telah berakhir secara rasmi pada 17 Oktober lalu susulan pengumuman Presiden Rodrigo Duterte yang mengisytiharkan bandar tersebut bebas daripada cengkaman militan.

Walau bagaimanapun, pertempuran di antara pasukan keselamatan dan kumpulan-kumpulan militan yang telah bersumpah taat setia dengan pengganas IS itu ternyata mendatangkan kesan buruk terhadap orang awam yang menetap di bandar berkenaan.

Baru-baru ini, laporan mendedahkan bahawa ribuan penduduk Muslim Filipina yang melarikan diri dari Marawi ketika konflik itu, masih belum mampu pulang semula ke rumah-rumah mereka.

Menurut Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), pelarian-pelarian tersebut memerlukan bantuan dan perhatian.

Memetik laporan Anadolu Agency, delegasi ICRC, Meher Khatcherian menyatakan bahawa majoriti pelarian tersebut berasal daripada bahagian yang paling teruk terjejas di Marawi, dan mereka masih bergantung kepada saudara mara, pihak berkuasa dan organisasi-organisasi bantuan kemanusiaan.

Khatcherian memberi contoh seorang pelarian wanita bernama Aisah Torogona, di mana dia dilaporkan sedang tinggal di bahagian Timur Tasik Lanao (majoriti pelarian berada di sana), dan ia amat sukar untuk mencari tempat tidur kerana kawasan itu terlalu sempit.

Dalam pada itu, Aisah yang juga ibu kepada 5 orang anak perlu mencari jalan meraih wang/pendapatan yang lebih untuk menyara keluarganya, namun tiada sebarang peluang yang boleh membantu mereka, walaupun hanya untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan.

“Kebanyakan daripada kami masih bergantung kepada bantuan, khususnya makanan yang diberi oleh kerajaan dan agensi-agensi lain kepada kami,” kata Aisah.

Itu baru satu kes, namun menurut ICRC, ramai lagi pelarian yang sedang mengalami kesusahan untuk membina kehidupan baru dan mereka juga amat berharap dapat pulang semula ke rumah mereka secepat mungkin.

Pertempuran di antara pasukan keselamatan kerajaan dan militan Maute dan Abu Sayyaf tercetus pada 23 Mei di Marawi.

Peperangan yang berlangsung selama 5 bulan itu telah menyebabkan 400,000 penduduk terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka.

Selain itu, sekurang-kurangnya 1,400 orang tercedera dan kira-kira 1,000 nyawa lagi telah terkorban, di mana kebanyakannya adalah anggota militan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker