AntarabangsaIsu SemasaPolitik

China Berang Dengan “Mentaliti Perang Dingin” AS

China telah mengutuk “mentaliti Perang Dingin” yang ditunjukkan oleh Amerika Syarikat (AS) apabila negara itu mewujudkan dasar keselamatan negara baru yang berkontroversi.

Di dalam dokumen tersebut, China dan Rusia dilabel sebagai “kuasa pesaing”, di mana AS turut menyenaraikan beberapa ancaman berpotensi yang boleh ditimbulkan oleh kedua-dua negara itu.

Memetik laporan BBC, strategi keselamatan baru berkenaan menyatakan bahawa Beijing dan kerajaan-kerajaan lain bertekad untuk mencabar kuasa Amerika.

Mengkritik dan membantah dasar itu, Kementerian Luar China dalam satu kenyataan berkata,  Washington patut “membuang fahaman mereka yang telah ketinggalan zaman”.

“Tiada negara atau laporan yang akan berjaya memesongkan fakta atau menyebarkan fitnah yang merbahaya,” kata jurucakap kementerian, Hua Chunying.

Tegas beliau, pihak AS perlu menghentikan tindakan mereka yang sengaja memutarbelitkan niat strategik China dan terus meninggalkan mentaliti masa lampau (ketika Perang Dingin).

Sementara itu, Rusia turut memberi maklum balas terhadap penubuhan dasar itu, di mana negara itu tidak boleh menerima kenyataan bahawa mereka dilihat sebagai ancaman oleh AS.

Seperti yang tertakluk di bawah dasar baru itu, China dan Rusia didakwa mahu mencabar kuasa, pengaruh, dan kepentingan AS, dalam usaha memusnahkan keamanan dan kemakmurannya.

“Mereka (Rusia dan China) bertekad untuk mengubah ekonomi menjadi kurang bebas dan adil, untuk mengembangkan tentera mereka, dan untuk mengawal maklumat dan data dengan tujuan menindas masyarakat mereka dan juga untuk meluaskan pengaruh,” kata laporan itu.

Bukan itu sahaja, malah terdapat juga dakwaan-dakwaan tidak berasas lain yang ditujukan kepada China dan Rusia. Antaranya adalah:

1. China dan Rusia sedang membangunkan senjata canggih dan kemampuan ketenteraan yang berpotensi untuk mengancam AS.

2. Pesaing-pesaing seperti China “mencuri harta intelek AS yang bernilai ratusan bilion dolar”.

3. China dan Rusia sedang membuat pelaburan di dalam dunia yang sedang membangun untuk “meluaskan pengaruh dan mendapat kelebihan berdaya saing” ke atas AS.

4. Di Eropah, China semakin mendapat tapak dengan mengembangkan amalan perdagangan yang tidak adil dan melabur dalam industri-industri utama.

5. China juga dikatakan berhasrat untuk menarik rantau Amerika Tengah ke dalam ‘genggamannya’ menerusi pelaburan dan pinjaman yang diterajui oleh kerajaan.

Show More

Related Articles

Back to top button