AntarabangsaIsu Semasa

Mesir Salah Satu ‘Penjara Terbesar’ Untuk Wartawan

Tahun 2017 dianggap sebagai “tahun terburuk untuk menjadi seorang wartawan” dalam sejarah Mesir.

Menurut kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, kerajaan pimpinan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi masih meneruskan ‘kekejamannya’ terhadap golongan wartawan dengan mengenakan pelbagai sekatan.

Sebuah organisasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) bergelar Committee to Protect Journalist (CPJ) menyifatkan negara tersebut sebagai “salah satu penjara yang terbesar di dunia untuk wartawan.”

Memetik laporan Al-Jazeera, sekurang-kurangnya 20 wartawan telah dijatuhkan hukuman penjara ketika menjalankan tugas mereka, sekali gus meletakkan Mesir pada tangga yang ketiga dalam senarai negara yang memenjarakan wartawan.

Dari aspek kebebasan media mula, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) menempatkan negara itu pada kedudukan 161 daripada 180 negara.

Wartawan-wartawan di Mesir berkata, sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap mereka ternyata menjejaskan profesion tersebut serta menghalang kemampuan mereka untuk melaporkan berita-berita yang melibatkan isu politik dan hak asasi manusia di seluruh negara.

“Niat kerajaan adalah untuk membawa ketakutan dalam arena (bidang kewartawanan) ini,” kata Ammr Khalifa, seorang kolumnis dan penganalisis politik warga Mesir yang berpangkalan di AS.

Tahap kesihatan bagi lebih separuh daripada wartawan-wartawan yang telah ditahan, termasuk seorang juru gambar bernama Mahmoud Abou Zeid, dilaporkan berada dalam keadaan teruk.

Abou Zaeid yang juga dikenali sebagai “Shawkan”, mengalami penyakit anemia (kekurangan sel darah merah) dan beliau perlu menjalani rawatan pemindahan darah.

Walau bagaimanapun menurut CPJ, beliau tidak diberi sebarang rawatan walaupun sudah 4 tahun berada dalam tahanan pra perbicaraan.

Selain beliau, terdapat juga wartawan-wartawan lain yang mengalami nasib yang serupa sepertinya.

“Ini merupakan waktu yang terburuk untuk menjadi seorang wartawan di Mesir sejak beberapa dekad dahulu,” kata Sherif Mansour, pengarah program CPJ di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Ujar beliau, golongan wartawan telah dihukum dan dipenjarakan sejak tahun 2013 bukan atas kesalahan jenayah, tetapi hanya kerana melaksanakan tugas mereka sebagai pengamal media.

“Ini merupakan petanda bahawa kerajaan, secara konsisten, menjadikan media sebagai tebusan,” tegasnya lagi.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button