Isu SemasaTempatan

57% Ibu Bapa Masih Tanggung Perbelanjaan Anak Dewasa

Kos sara hidup yang semakin meningkat ternyata menjadi beban kepada golongan muda, khususnya bagi mereka yang masih belajar atau baru sahaja mahu memulakan kehidupan.

Oleh itu, ramai dari mereka yang masih terpaksa bergantung kepada ibu bapa untuk menampung perbelanjaan mereka.

Baru-baru ini, sebuah kajian yang dilakukan oleh HSBC Bank mendapati bahawa lebih separuh atau 57% daripada ibu bapa di Malaysia masih menanggung perbelanjaan anak-anak mereka yang berusia lebih daripada 18 tahun.

Pada masa yang sama, 64% ibu bapa berpandangan anak-anak mereka itu sepatutnya sudah boleh menanggung diri sendiri.

“Memandangkan kos sara hidup meningkat, ibu bapa akan mempunyai beban tambahan untuk menyara anak-anak mereka yang sudah besar dan ia amat penting bagi mereka untuk memiliki (wang) yang cukup untuk menampung kos tambahan ini,” kata Lim Eng Seong,┬áKetua Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Malaysia.

Tegas Lim, ia amat penting bagi ibu bapa untuk mempertimbangkan keutamaan kehidupan mereka dan mencari bantuan profesional bagi membantu mereka menguruskan kewangan untuk masa depan yang lebih terjamin.

Menurut The Malay Mail Online, laporan HSBC berjudul “The Power of Protection Study, Facing The Future” itu merangkumi pandangan 13,122 ibu bapa di 13 negara dan wilayah, iaitu Argentina, China, Perancis, Hong Kong, India, Indonesia, Malaysia, Mexico, Singapura, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Ibu bapa di Malaysia berada pada kedudukan keempat di peringkat global dalam menanggung kewangan anak-anak mereka, sementara UAE berada di tangga teratas.

Berdasarkan kajian itu, pendidikan merupakan komitmen utama yang ditanggung oleh 69% ibu bapa, manakala 41% lagi membantu anak-anak mereka untuk membayar kos sara hidup seperti bil utiliti, barang-barang dapur dan juga pembaikan rumah.

Dalam pada itu, 67% ibu bapa warga Malaysia menyatakan bahawa mereka memberi keutamaan untuk membiayai kos pendidikan tinggi/universiti anak-anak mereka.

Hampir 1/3 atau 30% ibu bapa, mengakui menggunakan wang simpanan dan pelaburan untuk menanggung anak dewasa mereka.

Namun, 17% pula berkata, mereka dibelenggu hutang yang lebih banyak disebabkan ini.

Bukan itu sahaja, malah ibu bapa turut membantu anak-anak mereka dari aspek penjagaan kesihatan dan pergigian (38%) serta bayaran rumah (27%).

Dalam segelintir kes, kos percutian anak-anak dewasa juga masih lagi ditanggung oleh 1 daripada 4 orang ibu bapa, dan 49% kurang berbelanja untuk diri mereka supaya dapat memberi wang lebih kepada keluarga.

Lebih membimbangkan, 54% ibu bapa yang menanggung anak-anak dewasa tidak mempunyai sebarang pelan insurans yang boleh membantu mereka sekiranya berlaku sebarang kecelakaan.

Sementara itu, segelintir ibu bapa yang merangkumi 22% berkata, anak-anak mereka yang sudah dewasa tidak akan mampu menyara diri sendiri sekiranya mereka (ibu bapa) mempunyai penyakit jangka masa panjang atau kecacatan atau terpaksa berhenti bekerja.

Jadi, apa kata belia? Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, wajarkah ibu bapa untuk masih menanggung anak-anak mereka yang sudah dewasa?

Atau golongan muda perlu hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan ibu bapa?

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker