AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Demam Pilihan Raya Rusia Sudah Bermula

Demam pilihan raya di Rusia telah pun bermula pada hari Isnin, apabila negara itu secara rasmi melancarkan kempen bagi pilihan raya presiden yang akan berlangsung pada bulan Mac tahun depan.

Presiden Vladimir Putin juga telah mengumumkan bahawa beliau akan bertanding sebagai calon bebas dan akan mencalonkan dirinya sendiri, tanpa memerlukan sokongan daripada parti pemerintah, United Rusia.

Bukan itu sahaja, malah Putin dijangka akan ‘menang besar’ susulan sokongan rakyat yang masih tinggi terhadapnya.

“Saya mencadangkan pencalonan saya untuk jawatan presiden Persekutuan Rusia.

“Rusia hanya akan bergerak ke hadapan, dan tiada siapa akan menghalangnya,” kata Putin, menurut laporan agensi berita Rusia, Sputnik International.

Sekiranya menang, beliau akan memerintah Rusia bagi penggal yang keempat dan akan terus kekal berkuasa sehingga tahun 2024.

Memetik laporan AFP, Putin mula dilantik sebagai presiden pada tahun 2000, dan beliau juga dijangka akan menjadi pemerintah yang paling lama di negara tersebut sejak pentadbiran diktator, Joseph Stalin.

Walau bagaimanapun, penganalisis berpandangan jumlah pengundi yang bakal keluar mengundi adalah rendah memandangkan ramai orang sudah boleh menjangka dan yakin bahawa kemenangan akan berpihak kepada Putin.

Menurut ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Rusia, Ella Pamfilova, seramai 23 individu telah meluahkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden.

Salah seorang calon yang berpotensi adalah Ksenia Sobchak, yang merupakan seorang wartawan dan bekas pengacara televisyen di negara itu.

Sobchak mempunyai pengaruh yang agak kuat dan bapanya, Anatoly Sobchak merupakan datuk bandar Saint Petersburg yang amat popular pada tahun 1990an, di mana beliau juga adalah mentor kepada Putin.

Sekiranya menang, beliau akan melakar sejarah baru dengan menjadi presiden wanita pertama di negara itu.

Dalam pada itu, pengkritik utama Putin, Alexi Navalny telah diharamkan daripada bertanding kerana didapati bersalah melakukan jenayah penipuan.

Tetapi, Sobchak berikrar untuk menyokong Navalny dan memperjuangkan haknya untuk bertanding dalam pilihan raya.

Navalny juga menganggap tindakan yang diambil undang-undang yang diambil terhadapnya sebagai serangan yang bermotifkan politik.

Gennady Zyuganov, pemimpin Parti Komunis Rusia dan Vladimir Zhirinovsky, pemimpin parti ultra-konservatif LDPR, juga akan bertanding.

Walau bagaimanapun, sebuah tinjauan pendapat mendapati bahawa mereka berdua dijangka tidak akan meraih lebih daripada 10% undian.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close