Bisnes & Ekonomi

Rumah “Idaman” Siap Dibina Dalam Masa 2 Minggu?

Seperti bandar besar lain, bandar Bangalore di India sedang berhadapan dengan masalah perumahan.

Bandar Bangalore, India

Bangalore yang juga dikenali oleh orang ramai sebagai IT Capital of India,  merupakan lokasi kegemaran bagi beribu-ribu golongan graduan dan  golongan muda profesional untuk memulakan kerjaya mereka.

 

RUMAH TIDAK CUKUP, HARGA PULA MAHAL

Hal ini menyebabkan Bangalore sedang menghadapi masalah untuk menyediakan mereka semua dengan  kemudahan perumahan yang mencukupi.

Menurut data dari Reserve Bank of India, harga rumah di bandar ini sedang meningkat dengan mendadak, iaitu lebih daripada 130% sejak tahun 2010.

Dalam usaha menyelesaikan masalah ini, dua individu bernama Hemant Attray dan Rajesh Kotta telah menubuhkan sebuah syarikat penyedia rumah mampu milik bernama SquarePlums pada bulan Februari 2016.

Walau bagaimanapun, mereka mengalami kesukaran untuk membina rumah-rumah tersebut dengan cukup pantas kerana permintaan yang terlalu banyak.

“Apabila kami melancarkan hartanah (rumah) baru … (permintaan) akan melonjak naik dengan pantas,” terang Attray kepada CNNMoney.

Sebuah bangunan baru boleh mengambil masa sebanyak 18 bulan hingga tiga tahun untuk dibina jika menggunakan kaedah tradisional.

Kini,  syarikat tersebut boleh menyiapkan sebuah kediaman dalam masa dua minggu dengan membina rumah daripada kontena perkapalan yang telah ditempah khas.

 

SEBUAH KOMPLEKS APARTMENT SIAP DALAM MASA DUA BULAN

Mempunyai keluasan 200 kaki persegi, SquarePlums terlebih dahulu mereka bentuk apartment studio mereka yang sudah lengkap berperabot sebelum memberinya kepada kontraktor untuk memulakan proses pembinaan.

Dalam satu masa, syarikat berkenaan boleh membina beberapa buah rumah, di mana ia disusuan di atas satu sama lain.

Attray berkata, ini bermakna sebuah kompleks yang mempunyai 50 buah apartment boleh disiapkan dalam tempoh dua bulan.

 

SquarePlums kini mempunyai 2 kompleks apartment yang sedang dalam proses pembinaan, dan ia dijangka akan diperkenalkan kepada masyarakat umum pada bulan hadapan.

Kos menyewa sebuah apartment adalah sebanyak 18, 000 rupee (RM 1, 146.00) sebulan.

 

MENANGANI MASALAH KEPANASAN DI INDIA

SquarePlums terpaksa menyesuaikan reka bentuknya dengan cuaca panas yang melampau di India, dengan menambah lapisan penebat serta mengubah suai saiz kontena perkapalan menjadi lebih besar berbanding kontena biasa.

Mereka juga telah menambah beberapa ciri unik kepada apartment tersebut supaya ia menepati status Bangalore sebagai ‘Silicon Valley’ India.

Selain daripada menjadi tempat kediaman, apartment ini juga boleh dijadikan ruang pejabat untuk syarikat-syarikat baru.

Katil boleh dilipat dan dijadikan papan putih, sementara meja makan boleh ditukar menjadi beberapa buah meja kerja.

“Sekiranya mata anda ditutup (menggunakan kain), dan anda dibawa masuk ke dalam salah sebuah rumah tersebut, apabila penutup mata anda dibuka, anda tidak akan menyangka anda sedang berada di dalam sebuah kontena,” ujar Attray.

Dalam tahun pertama syarikat itu beroperasi, mereka membina apartment menggunakan bahan-bahan biasa seperti simen dan konkrit, dan projek tersebut ternyata membawa keuntungan kepada mereka.

 

MENJIMATKAN KOS DAN MASA

Pengasas Squareplums berharap bekas kontena perkapalan ini akan dapat mengurangkan kos pembinaan rumah dengan ketara.

Attray menganggarkan bahawa kos pembinaan rumah-rumah ini adalah hampir 20% lebih murah berbanding sistem perumahan tradisional.

Tempoh pembinaan yang lebih pendek juga bermakna SquarePlums mendapat pulangan bagi pelaburannya dalam tempoh masa yang lebih cepat.

Kini, syarikat berkenaan sedang merancang untuk membawa rekaan kontena kapalnya ke bandar-bandar lain di sekitar India. Namun sebelum berbuat demikian, ia memerlukan lebih banyak maklum balas daripada orang ramai tentang projek perumahan mereka.

Tetapi,  Attray tetap yakin bahawa konsep itu mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya.

“Rekaan ini menawarkan pengalaman untuk tinggal di tempat tinggal yang bergaya dalam ruang fizikal yang kecil.

“Anda tidak akan berasa seperti anda sedang tinggal di dalam sebuah kotak,” jelas beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button