Hiburan

Ferdinand Saji Motivasi Dalam Jenaka

Kisah seekor lembu yang ditakdirkan untuk berlawan di gelanggang dan menentang  matador tetapi lebih suka menghabiskan hari-harinya menghidu bunga, Ferdinand adalah sebuah filem motivasi diri yang mencuit hati.

Filem ini menampilkan personaliti terkenal termasuk bekas superstar WWE, John Cena, pelakon Gina Rodriguez, superstar Colombia Juanes, Gabriel Iglesias, serta Kate McKinnon, Anthony Anderson dan Jerrod Carmichael.

Berdasarkan ulasan The Indian Express, filem ini adalah adaptasi daripada buku Munro Leaf dan Robert Lawson, The Story of Ferdinand yang diterbitkan pada 1936.

Ferdinand berjuang untuk mempertahankan apa yang dipercayainya walaupun bertentangan dengan stigma bagi seekor lembu laga

Ia bukanlah sebuah kisah tentang mencari siapa diri anda, sebaliknya menekankan isu-isu yang agak tidak menyenangkan tentang bagaimana manusia melayan haiwan terutama menjadikannya sebagai taruhan.

Ferdinand adalah seekor lembu muda yang melarikan diri dari kem latihan di pedalaman Sepanyol selepas bapanya tidak kembali dari pertandingan dengan matador. Ia kemudian dijaga oleh seorang gadis yang tinggal di ladang. Kehidupan damai Ferdinand yang gemar menghidu bunga tiba-tiba hilang ketika pihak berkuasa mengembalikannya ke kem latihan.

Dengan bantuan kambing dan tiga ekor hedgehog, Ferdinand perlu mencari cara untuk membebaskan diri  daripada bertarung dengan El Primero, seorang ‘bullfighter’ terkenal yang tidak pernah kalah.

Ferdinand adalah sebuah karya animasi yang mengagumkan dari pengarah filem Ice Age, Carlos Saldanha. Kekuatan jalan cerita yang disampaikan sepenuhnya dari perspektif haiwan, adalah sesuatu yang sangat berbeza.

Kekuatan plotnya disokong oleh , Kate McKinnon yang hebat dan berbakat dalam menyuarakan watak Lupe Si Kambing. Lupe yang mungkin disimpan untuk menenangkan lembu-lembu di ladang itu menyerikan filem ini dengan sisi komedinya.

John Cena, bekas superstar WWE, adalah pilihan yang tepat untuk menjayakan watak Ferdinand. Dia berjaya menghidupkan watak lembu itu dengan intonasi suara yang bersesuaian terutama dalam berjenaka tentang berat badan haiwan itu.

Jika anda bukanlah pengikut setia siri Star Wars, Ferdinand adalah pilihan yang tepat untuk anda bersantai di hujung minggu terutama bersama ahli keluarga.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker