Isu SemasaTempatan

Membela Nasib Golongan Gelandangan

Penyanyi popular era 1980-an, Ben Nathan, yang ditemui tinggal di jalanan pada awal tahun ini,  telah menyedarkan ramai rakyat Malaysia tentang kewujudan masyarakat gelandangan.

Pengajarannya di sini, walaupun seorang individu itu adalah orang ternama, penting  baginya untuk mempunyai pengurusan kewangan yang baik,  diberi bimbingan dan kaunseling tentang urusan kerja dan kewangan, lapor akhbar The Star.

Jika tidak, seseorang boleh berakhir dengan tidak mempunyai tempat tinggal atau dalam erti kata lain, menjadi seorang gelandangan. Ini adalah pengajaran yang berguna untuk kita semua.

Ben Nathan dan DJ Dave

Syukur terdapat pihak yang mengambil  berat terhadap perkara ini, antara contohnya, Yayasan Artis 1 Malaysia yang mana presidennya, ialah seniman D.J.Dave.

Liputan akhbar tersebut juga telah menyatukan keluarga Ben untuk memberi sokongan kepadanya.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan juga sedang mengambil langkah yang sepatutnya untuk membantu beliau.

Ben Nathan telah mendapat perhatian media kerana statusnya sebagai seorang selebriti.

Namun begitu, terdapat beribu-ribu lagi individu yang telah kehilangan tempat tinggal serta terpinggir di seluruh negara yang mungkin tidak menerima perhatian dan bantuan seperti yang telah diterima oleh Ben Nathan.

 

KUALA LUMPUR METROPOLITAN DIPENUHI GELANDANGAN

Pada waktu malam di Kuala Lumpur, ia adalah senario biasa untuk melihat golongan gelandangan yang tidak mempunyai ruang peribadi untuk tidur dan menjalankan aktiviti seharian.

Kebanyakan mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk menghabiskan masa-masa mereka di tempat-tempat awam seperti di taman, kaki lima dan di atas jalanan.

Ada yang telah menjadi gelandangan selama bertahun-tahun atau berbulan-bulan sementara ada juga yang baru sahaja menjadi gelandangan.

 

CERITA DI SEBALIK GELARAN ‘GELANDANGAN’

Masalah gelandangan selalunya adalah disebabkan kemiskinan serta pemulauan secara sosial.

Ada yang terjebak dalam masalah gelandangan selepas bersara atau kehilangan pekerjaan.

Individu yang mengalami kecederaan, menghidap penyakit, atau kecacatan tentunya berhadapan dengan kesukaran mencari atau mengekalkan pekerjaan untuk menjana pendapatan.

Dalam pada itu, antara faktor lain yang menghalang seseorang individu untuk mendapatkan pekerjaan adalah rekod jenayah lama, masalah buta huruf atau diskriminasi bagi golongan terpinggir.

Terdapat juga mereka yang sedang bergelut dengan masalah ketagihan dadah, dan hal ini membuat mereka sukar untuk menjaga kesihatan diri serta menguruskan perihal kewangan.

Sesetengah orang pula lari atau dihalau dari rumah disebabkan keganasan rumah tangga, kemurungan atau trauma akibat masalah peribadi.

Namun bukan semua gelandangan yang tinggal di ibu kota adalah golongan pengemis, memandangkan mereka mempunyai pekerjaan tetap.

Tetapi, pendapatan yang dijana masih tidak mencukupi untuk membayar sewa rumah atau bilik.

Di samping itu, mereka juga merasakan ia adalah lebih mudah untuk hidup dengan hanya tidur di jalanan.

Walau bagaimanapun, semakin ramai pihak termasuk kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu dan memberi perhatian kepada golongan kurang bernasib baik ini.

 

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN KEADAAN SEMASA

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat disyorkan utnuk melaksanakan sistem sokongan yang komprehensif dalam usaha menghapuskan kemiskinan di bandar dan memastikan terdapat penurunan kadar gelandangan.

Terdapat banyak negara yang mengguna pakai model-model yang berkesan seterusnya berjaya menangani kemiskinan.

Antaranya adalah penubuhan badan kebajikan sosial yang ditadbir dengan elok,  sebagai sebahagian daripada dasar negara untuk membantu kumpulan-kumpulan terpinggir ini.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button