AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Misteri Kehilangan Individu Kedua Paling Berkuasa Korea Utara

Kehilangan pengarah organisasi tentera yang paling berkuasa di Korea Utara telah menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi mengenai keselamatannya.

Hwang Pyong-so dianggap sebagai individu kedua paling berkuasa di negara itu, di mana beliau mengetuai biro politik tentera Pyongyang dan juga memegang kedudukan tinggi di dalam Jawatankuasa Pusat Parti Buruh.

Namun, menurut laporan akhbar Korea Selatan, JoongAng Ilbo, beliau telah dipecat daripada parti kerana didakwa menerima rasuah.

Pada masa yang sama, timbalan Hwang, Kim Won-hong juga ditahan di kem penjara atas kesalahan jenayah yang serupa.

“Sekiranya Hwang benar-benar dipecat daripada Parti Buruh, ia bermakna karier politik, dan mungkin nyawanya juga, akan berakhir, walaupun kini masih tidak diketahui beliau masih hidup atau tidak,” kata akhbar tersebut.

Tambah sumber lagi, pemimpin rejim Korea Utara, Kim Jong-un memutuskan untuk “menghukum mereka sebagai amaran kepada yang lain” kerana beliau mengesyaki kedua-dua individu tersebut menerima suapan untuk menaik pangkat.

Menurut agensi risikan Korea Selatan pada bulan November, dua lelaki berkenaan dianggap telah mempamerkan “sikap yang tidak murni” terhadap Jong-un.

Dalam pada itu, naib pengerusi Parti Buruh, Choe Ryong-hae dikatakan menjadi pihak yang mengetuai siasatan ke atas biro politik tentera.

Choe juga dikenali sebagai ‘rising star’ atau individu yang amat menyerlah di dalam rejim tersebut.

Memandangkan ia amat sukar untuk mendapatkan maklumat mengenai Korea Utara dan tiada bukti yang banyak mengenai keadaan Hwang, pihak penganalisis enggan membuat sebarang kesimpulan mengenai keselamatannya.

Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan besar nyawa beliau telah diragut kerana ramai individu, termasuk anggota-anggota elit di dalam kerajaan dan tentera telah dibunuh akibat salah laku jenayah.

Antara invididu berprofil tinggi yang dilaporkan dibunuh adalah Hang Song-thaek, iaitu pak cik saudara kepada Jong-un sendiri.

Hang memegang jawatan naib pengerusi Jawatankuasa Parti Buruh sebelum ini, telah ditahan pada bulan November 2013 dan didapati bersalah di sebuah tribunal tentera khas di atas kesalahan menjadi anti-parti dan juga mempunyai hasrat untuk menggulingkan pimpinan parti, negara, serta sistem sosialis.

Beliau dihukum mati menerusi skuad penembak pada bulan Disember tahun yang sama.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker