Isu SemasaTempatan

Ketidakseimbangan Hartanah Semakin Membimbangkan

Ketidakseimbangan dalam penawaran dan permintaan di dalam pasaran hartanah tempatan, terutamanya bagi perumahan dan hartanah komersial semakin meningkat, dan ia juga berpotensi untuk menjejaskan ekonomi.

Memetik laporan The Star pada bulan November, Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa ketidakseimbangan ini telah meningkat sejak tahun 2015, di mana jumlah rumah yang tidak terjual berada pada tahap yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

“Pada suku pertama 2017, jumlah rumah yang tidak terjual adalah 130,690 unit, iaitu yang tertinggi di dalam tempoh satu dekad.

“Ini hampir dua kali ganda purata (rumah yang tidak terjual) 72,239 unit setiap tahun di antara tahun 2004 dan 2016,” menurut BNM.

Negeri Johor pula dilaporkan mencatatkan angka tertinggi bagi rumah-rumah yang tidak terjual di seluruh negara iaitu 27% daripada jumlah keseluruhan, diikuti Selangor (21%), Kuala Lumpur (14%) dan Pulau Pinang (8%).

BNM berkata, hal ini terjadi disebabkan ketidaksepadanan harga pelancaran hartanah baru dan kemampuan untuk membelinya.

“Sepanjang tempoh 2016 sehingga suku pertama 2017, hanya 21% pelancaran (projek) baru adalah rumah-rumah yang berharga di bawah RM 250,000,” ujar BNM.

Walau bagaimanapun, jumlah unit yang telah dibina tidak cukup untuk memenuhi permintaan golongan yang mampu membelinya, yang terdiri daripada 35% isi rumah di Malaysia.

Kemudian, ketidaksepadanan ini bertambah buruk dengan peningkatan median pendapatan isi rumah yang perlahan (hanya 9.6% peningkatan daripada tahun 2012 hingga 2016), berbanding harga rumah yang meningkat sebanyak 15% pada tempoh yang sama.

BNM menyatakan bahawa faktor-faktor ini menyebabkan harga rumah di Malaysia meningkat sebanyak 5 kali ganda berbanding pendapatan isi rumah tahunan bagi pada tahun 2016, sekali gus mengklasifikasikan harga rumah sebagai terlalu mahal dan “tidak mampu dimiliki.”

Isu kemampuan membeli rumah adalah lebih teruk di segelintir negeri, di mana harganya sangat tinggi (tidak mampu dimiliki) di Sabah dan Pulau Pinang, iaitu 5.5 kali ganda berbanding pendapatan isi rumah.

“Jurang luas di antara penawaran dan permintaan rumah mampu milik menjadikan ketidakseimbangan pasaran hartanah semakin buruk,” ujar BNM.

Berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bertajuk “Making Housing Affordable” pada tahun 2014, harga keseluruhan bagi rumah di Malaysia adalah 4.4 kali ganda lebih daripada pendapatan isi rumah sasaran.

Menurut pengarah KRI, Dr Suraya Ismail, harga rumah di Johor berada pada tahap yang “sangat mahal”, sementara Selangor dan Negeri Sembilan adalah “sederhana mahal”, manakala harga di Melaka pula adalah “berpatutan”.

Dr Suraya berkata, pemaju hartanah sangat mampu untuk menawarkan rumah-rumah mampu milik.

“Sebelum tahun 2008, sektor swasta telah melancarkan banyak unit rumah dalam lingkungan harga RM 250,000.

“Tetapi daripada 2008 dan tahun-tahun seterusnya, mereka sebaliknya memberi fokus yang terlalu banyak terhadap unit-unit yang berharga lebih daripada RM 500,000,” katanya sambil menambah bahawa kita perlu menetapkan harga rumah sama seperti sebelum tahun 2008.

Tambahnya lagi, ramai pemaju ragu-ragu dalam menawarkan rumah mampu milik kerana ia mendatangkan keuntungan yang rendah.

Namun, perkara ini tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi mereka untuk terus membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Jika mereka mula menggunakan teknologi baru, mereka boleh membangunkan rumah mampu milik secara berterusan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan untuk menggunakan keuntungan yang diperoleh sebagai modal bagi projek-projek yang akan datang, serta memastikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilaksanakan dalam usaha memastikan ia mengandungi ekonomi skala.

Dalam pada itu, Dr Suraya juga mengakui bahawa ia akan menjadi satu cabaran bagi pemaju-pemaju kecil untuk menggunakan teknologi baru.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kini sedang bekerjasama menghasilkan rangka kerja bagi memastikan kedua-dua pemaju besar dan kecil boleh meningkatkan produktiviti mereka.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button