AntarabangsaIsu Semasa

AS Dan Arab Saudi ‘Bekal Senjata’ Kepada Militan IS?

Baru-baru ini, sebuah laporan mendedahkan bahawa senjata-senjata yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi kepada pihak yang sepatutnya telah jatuh ke tangan kumpulan militan IS.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah kumpulan pemantauan senjata, Conflict Armament Research (CAR), kejadian ini sekali gus meningkatkan “kualiti dan kuantiti” senjata militan berkenaan.

Dalam pada itu, jumlah senjata yang jatuh ke tangan IS adalah terlalu banyak, dan ia tidak mungkin diperoleh hanya menerusi rampasan apabila mereka berjaya menawan sesuatu tempat itu selepas bertempur.

Memetik laporan Al-Jazeera, laporan CAR berjudul “Weapons of the Islamic State” itu adalah berdasarkan siasatan yang dilaksanakan ke atas kumpulan tersebut selama tiga tahun di medan pertempuran di Iraq dan Syria.

Ia telah menganalisis lebih daripada 40,000 barang yang dijumpa di medan pertempuran termasuk senjata, peluru, dan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat alat peranti letupan.

Difahamkan, kebanyakan senjata tersebut dirampas daripada tentera Iraq dan Syria, namun sesetengah pula, pada asalnya dibekalkan oleh negara-negara lain yang terlibat dalam konflik puak pembangkang Syria yang menentang Presiden Bashar al-Assad.

CAR berkata, Iraq dan Syria telah menyaksikan IS menggunakan sejumlah besar senjata yang dibekalkan oleh Arab Saudi dan AS, yang sepatutnya bertujuan untuk menentang mereka.

Semua barangan yang diperiksa itu dibuat di negara-negara Kesatuan Eropah (EU), dan dalam menyerahkannya kepada kumpulan-kumpulan bersenjata di Syria, AS dan Arab Saudi melanggar klausa kontrak yang menghalang penghantaran semula mereka.

“Bukti yang dikumpul oleh CAR menunjukkan bahawa AS telah berulang kali mengalihkan senjata-senjata dan peluru yang dibuat di EU kepada tentera pembangkang di dalam konflik Syria,” katanya.

Oleh itu, militan IS pula amat pantas dalam ‘merampas’ senjata-senjata berkenaan dengan kuantiti yang sangat banyak.

Kira-kira 90% senjata dan peluru yang digunakan oleh IS berasal dari China, Rusia dan Timur Eropah, di mana senjata buatan Rusia mencatatkan jumlah yang paling banyak berbanding negara-negara lain.

“Kajian ini menyokong dakwaan bahawa kumpulan itu (IS) telah memperoleh kebanyakan peralatan ketenteraannya daripada tentera kerajaan Iraq dan Syria,” menurut laporan CAR.

Baki 10% daripada jumlah keseluruhan senjata dan peluru pula adalah peralatan ketenteraan yang dihasilkan oleh negara-negara Barat.

Tahun lepas, CAR melaporkan bahawa IS telah menghasilkan senjata-senjata gred tentera di Iraq, dan telah menyeragamkan pengeluarannya bagi seluruh kumpulan itu.

Sabtu lalu, Iraq mengisytiharkan bahawa peperangan mereka menentang militan IS telah tamat apabila berjaya menawan semula Rawa, yang merupakan salah sebuah baki bandar yang dipegang oleh IS.

Memandangkan operasi ketenteraan Rusia di Syria juga telah melabuhkan tirainya, Presiden Vladimir Putin telah mula mengundurkan tenteranya dari Syria pada hari Isnin.

Perang saudara di Syria telah berterusan lebih daripada enam tahun, namun masih belum ada jalan penyelesaian yang ditemui untuk meredakan konflik tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button