Gaya HidupKesihatan

Penyakit Multiple Sclerosis (MS) Jejaskan Kehidupan Seharian

Penyakit Multiple Sclerosis (MS) atau Sklerosis Berbilang adalah keadaan di mana sistem pertahanan badan menyerang sarung pelindung yang menyeliputi saraf yang dipanggil myelin.

Perbandingan saraf yang sihat dengan saraf yang terdedah akibat MS

Fungsi saraf adalah untuk membawa isyarat elektrikal halus dari satu bahagian tubuh ke bahagian tubuh yang lain.

Jadi gangguan pada myelin boleh menyebabkan masalah komunikasi antara otak dan seluruh tubuh badan individu.

Saraf itu sendiri juga  akhirnya, boleh mengalami kerosakan sama ada secara sementara atau kekal.

Hal ini boleh menyebabkan gangguan terhadap percakapan, penglihatan dan keupayaan seseorang untuk bergerak

Ujar The Star, ia sering dihidapi individu berusia antara 20 hingga 40 tahun, ia juga lebih kerap dialami golongan wanita daripada lelaki.

Walaupun penyakit MS jarang ditemui di Malaysia dan rantau Asia, ia menjadi salah satu punca  utama ketidakupayaan dalam kalangan golongan muda.

Hari Multiple Sclerosis Sedunia disambut pada hari Rabu pada minggu terakhir bulan Mei setiap tahun.

 

PUNCA MS

Sehingga kini masih tidak diketahui punca berlakunya MS.

Myelin boleh diibaratkan seperti salutan penebat yang terdapat pada wayar elektrik.

Apabila myelin tersebut mengalami kerosakan dan saraf yang dilindungi terdedah, isyarat yang bergerak sepanjang saraf mungkin menjadi perlahan atau tersekat-sekat.

Tidak diketahui mengapa MS bertambah teruk dalam sesetengah individu namun ia tidak menunjukkan kesan yang serupa dalam individu lain.

 

GEJALA MS

Terdapat pelbagai tanda-tanda dan gejala-gejala MS. Hal ini kerana ia bergantung kepada kuantiti dan jenis-jenis saraf yang terjejas.

Tanda-tanda dan gejala MS termasuklah:

  • Kebas atau lemah pada satu atau lebih anggota badan yang biasanya berlaku pada satu sisi pada satu-satu masa, atau pada kaki dan pada batang badan
  • Kehilangan penglihatan sama ada secara separuh ataupun sepenuhnya biasanya pada satu mata dalam satu-satu masa, terdapat juga kesakitan semasa menggerakkan mata yang terjejas.
  • Penglihatan berganda yang berpanjangan
  • Rasa kebas atau sakit di bahagian tertentu pada tubuh.
  • Sensasi kejutan elektrik yang berlaku jika menggerakkan leher, terutamanya apabila membongkokkan leher ke hadapan.
  • Mengalami gegaran, kurang koordinasi ketika berjalan atau gaya percakapan yang tidak stabil
  • Percakapan yang tidak jelas
  • Keletihan
  • Pening
  • Masalah dengan kawalan fungsi usus dan pundi kencing

 

JENIS-JENIS MS

Menurut The Star, terdapat 4 jenis MS. Setiap jenis dinamakan mengikut cara penyakit ini bertindak pada tubuh.

  1. Relapsing-remitting – Ini adalah jenis yang paling biasa, dengan kira-kira 80% pesakit mempunyai sakit jenis ini.
  2. Secondary-progressive – Selepas beberapa tahun seorang individu mengalami tempoh di mana penyakit ini menyerang kemudian reda buat beberapa kali,  seseorang boleh secara beransur-ansur mengalami ketidakupayaan.
  3. Primary-progressive – Penyakit ini beransur-ansur menjadi teruk dari mula tanpa serangan akut.
  4. Progressive-relapsing – Terdapat perkembangan yang stabil dari permulaan penyakit dengan serangan secara berkala.

 

RAWATAN UNTUK MS

Pada masa ini tiada  penawar untuk MS, namun ujar EMedicine gejalanya boleh ditangani dengan ubat-ubatan dan rawatan lain.

  • Terapi Immunomodulatory (IMT).

IMT digunakan untuk merawat gangguan sistem pertahanan tubuh dan terapi ke arah melegakan atau mengubah gejala.

Matlamat IMT adalah untuk mengurangkan serangan dan melambatkan perkembangan penyakit.

  • Terapi fizikal.

Seorang ahli terapi fizikal boleh mengajar individu cara melakukan aktiviti regangan dan aktiviti kekuatan serta menunjukkan cara menggunakan alatan untuk memudahkan tugas-tugas harian.

Terapi fizikal yang dilakukan bersama alat bantuan pergerakan apabila diperlukan juga dapat membantu masalah kelemahan pada kaki dan masalah gaya jalan yang sering dikaitkan dengan MS.

  • Peregang otot.

Seorang individu mungkin mengalami kekejangan otot yang menyebabkan kesakitan atau yang tidak terkawal, terutamanya di kaki.

Ubat peregang otot seperti baclofen (Lioresal) dan tizanidine (Zanaflex) boleh membantu mengatasi keadaan ini.

  • Ubat untuk mengurangkan keletihan.
  • Ubat lain.

Ubat-ubatan juga boleh digunakan untuk merawat kemurungan, kesakitan, masalah berkaitan hubungan seksual serta masalah kawalan pundi kencing atau usus yang berkaitan dengan MS.

 

HIDUP DENGAN MS

MS secara umumnya lebih menjejaskan kualiti hidup seseorang daripada jangka hayat mereka.

Hal ini kerana penghidap MS perlu hidup dengan pelbagai gejala MS yang akan mempengaruhi gaya hidup.

Namun, hanya terdapat beberapa kes sahaja yang boleh meyebabkan kematian.

Jadi. rata-rata penghidap MS mempunyai jangka hayat seperti individu sihat lain.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button