Isu SemasaTempatan

Apa Punca Ramai Belia Jatuh Muflis?

Tidak dinafikan bahawa rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, rasa terbeban dan tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Walau bagaimanapun, kos sara hidup yang tinggi bukanlah alasan untuk golongan belia ‘berbelanja sampai tak ingat dunia’ sehingga jatuh bankrap atau muflis.

Kes muflis dalam kalangan belia menjadi semakin membimbangkan hari demi hari.

Memetik laporan The Star, golongan berusia di antara 25 hingga 44 tahun adalah kumpulan terbesar yang telah jatuh muflis.

Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdi), golongan ini membentuk hampir 60% daripada 94,408 kes yang dilaporkan dari tahun 2013 sehingga Ogos tahun ini.

Namun, apakah puncanya?

 

INGIN MEMULAKAN KEHIDUPAN SENDIRI

Ketua pengarah Mdi, Datuk Abdul Rahman Putra Taha berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada ‘trend’ ini, namun antara punca utama adalah mereka hanya “ingin memulakan kehidupan sendiri.”

“Apabila mereka memulakan kehidupan sendiri, kewangan mereka tidak stabil. Sesetengah mahu berkahwin, namun pihak mertua meminta hadiah hantaran seperti kenderaan atau sebuah rumah, mereka (belia) memerlukan wang itu,” katanya.

Ujar Abdul Rahman, pendapatan atau gaji bulanan mereka pula adalah rendah, tetapi mereka memerlukan hadiah hantaran yang mahal.

“Apa lagi yang mereka boleh lakukan selain daripada membuat pinjaman peribadi,” soal beliau.

 

4 PUNCA UTAMA PEMINJAM JATUH MUFLIS

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menyenaraikan empat punca utama yang menyebabkan ramai peminjam jatuh muflis.

Pertama adalah pinjaman untuk membeli kenderaan yang merangkumi 26.63%, diikuti pinjaman peribadi (25.48%), pinjaman rumah (16.87%), dan pinjaman perniagaan (10.24%).

Jumlah keseluruhan individu yang diisytiharkan bankrap daripada tahun 2013 sehingga bulan Ogos 2017 adalah 296,712 orang, di mana negeri Selangor mempunyai rekod yang tertinggi, iaitu 72,114.

Wilayah Persekutuan pula mencatatkan 46,377 kes, diikuti Johor Bahru (41,179) dan Pulau Pinang (22,136).

 

URUSKAN WANG DENGAN BERHEMAH

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai untuk menguruskan wang dengan berhemah supaya tidak dibebani hutang yang menggunung.

Pada masa yang sama, jelas Abdul Rahman, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengetatkan lagi peraturan memohon kad kredit supaya golongan muda tidak boleh mendapatkannya dengan sewenang-wenangnya.

Selain itu, Jabatan Insolvensi juga komited untuk memastikan supaya kerajaan mencapai sasaran dalam mengurangkan kes muflis di dalam negara.

 

USAHA MENGURANGKAN KES MUFLIS 

Status bankrap hampir 58,000 individu telah dibatalkan oleh pihak mahkamah sejak lima tahun lalu, dan ini menandakan fasa pertama usaha kerajaan untuk mengurangkan kes muflis susulan pemindaan beberapa undang-undang kebankrapan.

Kini, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan jumlah kes muflis kepada 4,000 sehingga 5,000 sahaja.

“Penguatkuasaan undang-undang kebankrapan baru bermula pada tahun ini. Sekiranya mereka (individu muflis) memenuhi kriteria kami, peminjam yang layak akan secara automatik digugurkan (status) bankrapnya tiga tahun daripada tarikh permohonan Penyata Hal ehwal,” kata Abdul Rahman.

 

DISIPLIN MELANGSAIKAN HUTANG

Di bawah undang-undang baru ini, seseorang yang berisiko untuk diisytihar bankrap boleh melangsaikan hutang-hutangnya tanpa prosiding kebankrapan dengan melakukan perjanjian sukarela.

“Niat kami adalah untuk memastikan supaya peminjam mampu membayar balik pinjaman mereka tanpa rasa terbeban dan pemiutang juga akan mendapat semula wang mereka,” jelas beliau.

Di bawah perjanjian itu, penghutang perlu mematuhi jumlah pembayaran semula kepada pemiutang dan mereka juga perlu memfailkan penyata slip gaji dan perbelanjaan setiap enam bulan sepanjang tempoh tiga tahun itu.

“Selagi mereka membuat pembayaran di dalam tempoh itu, kami akan melepaskan nama mereka,” ujar Abdul Rahman.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button