AntarabangsaIsu Semasa

Perancis Haramkan Penggunaan Telefon Pintar Di Sekolah

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Perancis, Jean-Michel Blaquer telah mengumumkan pengharaman telefon bimbit di sekolah-sekolah di negara itu mulai bulan September tahun depan.

Memetik laporan The Local, larangan membawa telefon bimbit di dalam bilik darjah telah dikuatkuasakan, tetapi mulai September 2018, langkah baru ini melarang para pelajar daripada menggunakan peranti itu ketika waktu rehat, makan tengah hari dan juga tempoh menukar subjek.

“Pada zaman ini kanak-kanak (pelajar) tidak lagi bermain ketika waktu rehat, mereka semua hanya leka menggunakan telefon pintar dan dari sudut pandangan pendidikan, ia merupakan satu masalah,” kata Blaquer.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan pengharaman penuh penggunaan telefon bimbit di sekolah ini masih tidak jelas.

 

GURU-GURU BIMBANG UNTUK LAKUKAN PEMERIKSAAN

Terdapat cadangan supaya pihak sekolah menyediakan peti simpanan (locker) agar pelajar boleh menyimpan peranti mereka di dalamnya.

Namun, apa yang membimbangkan guru-guru adalah jika mereka diminta untuk melakukan pemeriksaan terhadap setiap pelajar untuk memastikan tiada siapa yang melanggar peraturan baru berkenaan.

“Kita sedang mengusahakannya (larangan) dan ia boleh berfungsi dalam pelbagai cara.

“Telefon pintar mungkin diperlukan untuk tujuan pembelajaran atau kecemasan, jadi ia perlu disimpan (selain daripada dua senario itu),” tambah menteri itu lagi.

Bagi Blanquer, isu-isu yang melibatkan telefon bimbit dan tablet adalah masalah “kesihatan awam”, di mana ia amat penting untuk kanak-kanak di bawah umur 7 tahun untuk tidak menggunakannya.

 

KURANGKAN PEMBULIAN SIBER 

Selain kemudaratan dari aspek kesihatan, larangan ini turut dilihat sebagai satu langkah yang berkesan dalam mengurangkan gejala pembulian siber.

Larangan ini akan dikuatkuasakan di sekolah rendah dan sekolah menengah rendah bagi para pelajar yang berusia 11 hingga 15 tahun, tetapi sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar-pelajar senior yang hampir dewasa dibenarkan untuk membawa telefon pintar mereka.

Dalam pada itu, mengharamkan penggunaan telefon di sekolah rendah dan menengah juga menjadi sebahagian daripada manifesto Presiden Emmanuel Macron di dalam kempen pilihan raya beliau.

Segelintir guru turut berpandangan bahawa telefon bimbit adalah antara gangguan utama terhadap fokus pelajar, dan ia turut disalahgunakan untuk melakukan pembulian siber di sekolah.

Namun, terdapat juga sesetengah guru yang berpendapat bahawa telefon pintar boleh digunakan untuk meningkatkan proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah, namun perlu ada pengawalan yang ketat. 

 

ADAKAH LARANGAN INI MUSTAHIL UNTUK DIKUATKUASAKAN?

Sementara itu, Peep, salah satu kumpulan terbesar yang mewakili pihak ibu bapa bagi pelajar berkata, mereka skeptikal sama ada larangan ini boleh dilaksanakan atau tidak.

Ketua kumpulan berkenaan, Gerard Pommier menyatakan bahawa langkah itu agak mustahil untuk dilaksanakan pada waktu ini kerana tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk menyimpan telefon bimbit milik setiap pelajar.

“Kami rasa ia mustahil buat waktu ini. Bayangkan sekolah menengah yang mempunyai 600 orang pelajar. Adakah mereka akan meletakkan semua telefon mereka di dalam sebuah kotak?

“Bagaimana ingin menyimpannya? Dan memulangkannya kepada mereka di hujung hari?” soal soal Pommier.

 

MENTERI SIMPAN TELEFON DI DALAM LOCKER

Dalam sebuah temubual, Blanquer menyatakan bahawa pelajar mungkin akan diminta untuk meletakkan telefon mereka di dalam kotak-kotak selamat apabila tiba di sekolah atau bilik darjah. 

“Di dalam mesyuarat kabinet, kita (menteri) akan menyimpan telefon di dalam locker sebelum duduk untuk memulakan perbincangan.

“Ini boleh dilakukan untuk mana-mana golongan, termasuk (pelajar) di dalam kelas,” tegasnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button