Isu SemasaTempatan

Guna Kuasa Tular Untuk Didik Pembuang Sampah

Jika anda terfikir untuk membuang sampah secara sembarangan di Ipoh, anda patut berfikir semula kerana perbuatan anda bakal ditularkan. Dengan kebiasaan tabiat buruk membuang sampah di tempat yang salah, Majlis Bandaraya Ipoh memanggil orang ramai untuk menjadi mata dan telinga mereka dengan mengambil gambar-gambar si pelaku.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata gambar itu kemudiannya akan dihantar ke akaun WhatsApp majlis bandaraya supaya dapat disebarkan di media. Orang awam disarankan untuk menangkap wajah si pelaku atau nombor kenderaan mereka.

Kaedah ini telah diguna pakai untuk membendung masalah di kawasan berhampiran lebuh raya (Lebuhraya Utara-Selatan) di Ampang dan ia didapati memberikan impak positif, lapor Thestar.

“Semua gambar akan dikreditkan sebagai sumber dari majlis bandaraya dan gambar-gambar ini akan dicetak dalam akhbar harian nasional.

“Melalui kaedah ini, kita dapat pastikan bahawa pelakunya adalah beberapa orang yang sama sahaja kerana sekali gambar itu diterbitkan, sampah tidak akan lagi dibuang di tempat yang salah,” katanya.

Majlis Bandaraya Ipoh juga sedang memikirkan satu perintah baru untuk mengheret pembuang sampah yang gagal menyelesaikan denda mereka dalam tempoh tertentu ke mahkamah.

Walaupun Ipoh dinamakan bandar terbersih Malaysia oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada awal tahun ini, lebih banyak keperluan perlu dilakukan untuk membetulkan sikap buruk berkenaan pembuangan sampah.

“Kita boleh melakukan yang terbaik untuk membersihkan bandar, tetapi si pembuang sampah akan kembali setiap hari untuk membuang sampah mereka di tempat yang sama. Ada juga yang sanggup melakukan perjalanan beberapa kilometer dari rumah mereka untuk membuang sampah di tempat pembuangan yang menyalahi undang-undang, seperti kawasan di sebalik pasar dan sekolah,” katanya lagi.

Pihak berkuasa juga menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan budaya menegur dengan berhemah ketika melihat perbuatan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.

“Jika anda memandu, bunyikan hon kepada orang-orang ini. Sekiranya anda melihatnya secara bersemuka, cubalah mencegahnya tetapi dengan cara yang sopan, “ujarnya.

Orang ramai yang menangkap gambar si pelaku boleh menghantar gambar tersebut ke nombor WhatsApp Majlis Bandaraya  Ipoh di 019-550 3083. Identiti mereka akan dirahsiakan apabila menyerahkan foto.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker