Hiburan

Pinjamkan Hatiku Filem Cinta Agung Sarat Emosi

Filem Pinjamkan Hatiku yang mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 30 November lalu, mengangkat kisah cinta dan nilai pengorbanan yang tinggi.

Selepas tujuh hari ditayangkan, filem ini sudah berjaya menjadi filem romantis terlaris tahun ini dengan mengutip 1.8 juta. Mana tidaknya, dengan plot yang menyayat hati, Pinjamkan Hatiku menjadi salah satu filem Melayu yang wajib ditonton.

Teraju utama Pinjamkan Hatiku

Filem yang diterbitkan oleh AURAWHITE GLOBAL SDN BHD dengan kerjasama NUANSA  PRODUCTION, merupakan buah tangan terbaru dari sutradara Osman Ali yang popular dengan filem seperti Anak Halal, Ombak Rindu dan Jwanita.

Menampilkan barisan pelakon ternama seperti Ayda Jebat, Shaheizy Sam, Farid Kamil, Lia Natalia, dan Azizah Mahzan, filem romantis ini mengisahkan seorang gadis yang berada dalam dilema antara cintanya pada teman lama di kampung dan doktor yang merawatnya ketika sakit.

Semasa melawat kampung halamannya, novelis Laila Safitri (Ayda Jebat) mendapati bahawa dirinya menderita penyakit kanser. Dia kemudiannya bersatu semula dengan Naufal (Shaheizy Sam), sahabat lama dari zaman sekolah. Kedua-duanya mendapati diri mereka mula menyukai antara satu sama lain. Tetapi, hari-hari bahagia tidak bertahan lama kerana Naufal tiba-tiba hilang setelah Laila pulih dari penyakitnya.

Walaupun masih mempunyai perasaan untuk Naufal, Laila memutuskan untuk berkahwin dengan doktornya, Dr. Hasnan (Farid Kamil) dan memulakan kehidupan di New Zealand. Walau bagaimanapun, cinta masa lalu sukar dilupakan dan mengancam perkahwinannya.

Jika anda fikir filem ini adalah sebuah cerita klise tentang perkahwinan antara dua darjat, persepsi anda salah sama sekali. Pinjamkan Hatiku mengangkat kisah cinta agung penuh konflik yang pasti menjentik hati penontonya sama seperti filem popular Hollywood, The Fault In Our Stars.

Filem ini juga turut mempertaruhkan sinematografi terbaik menerusi pemandangan menarik sepanjang 2 jam. Ia menjanjikan keindahan alam semula jadi  di Malaysia seperti persekitaran indah di Sungai Lembing, Pahang termasuk paparan Air Terjun Pelangi dan kecantikan di bumi New Zealand yang pastinya memukau para audiens.

Lagu-lagu latar yang digunakan juga sesuai dengan setiap babak malah berjaya membuatkan penonton menitiskan air mata. Pujian juga harus diberikan kepada pelakon yang berjaya menghidupkan watak mereka terutama Shaheizy Sam sendiri yang sanggup mengubah bentuk badannya bagi menjayakan watak Naufal.

Tonton Pinjamkan Hatiku untuk mengetahui kesudahan cinta tiga segi ini. Jika anda sudah lama tidak mengalirkan air mata, filem ini akan membuatkan anda merasai sendiri pengalaman cinta agung yang menyentuh hati.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker