AntarabangsaIsu Semasa

Ahli Arkeologi Mesir Temui Mumia Baru di Luxor

Ahli arkeologi Mesir telah menemui mumia di salah satu daripada dua makam yang belum diterokai di sekitar Sungai Nil dari bandar selatan Mesir, Luxor.

Menurut Kementerian Antik Mesir, makam itu ditemui pada tahun 1990 oleh ahli arkeologi dari Jerman, Frederica Kampp, tetapi kajian terhadap makam itu tidak diteruskan walaupun sudah menemui pintunya.

Berdasarkan kenyataan kementeriaan, kedua-dua makam yang diberi nombor oleh Kampp, mungkin milik dinasti Kerajaan Baru, yang wujud selama beberapa abad sehingga kira-kira 3,000 tahun yang lalu.

Sejak penemuan Kampp, misi mengkaji kedua-dua makam tidak disentuh itu mula diteruskan oleh ahli arkeologi Mesir.

Juruteknik arkeologi Mesir memulihkan mumia yang dibalut dengan linen, yang ditemui di makam “Kampp 150” yang baru ditemui di kawasan perkuburan Draa Abul Naga di tebing sungai Nil barat, Luxor, Mesir.

Menteri Antik, Khaled al-Enany berada di Luxor untuk mengumumkan penemuan di kawasan perkuburan Draa Abul Nagaa berhampiran Lembah Raja-raja yang terkenal, di mana kebanyakan firaun, termasuk Tutankhamun dikebumikan.

Selain barang-barang pengebumian, ahli arkeologi turut menemui mumia yang dibalut dengan kain jenis linen. Pengkaji kemudian merumuskan bahawa mumia itu mungkin merupakan pegawai tertinggi atau orang yang berkuasa dalam empayarnya.

Para arkeologi masih belum mengetahui pemilik makam tersebut tetapi mengatakan terdapat dua kemungkinan tentang  identiti tersebut.

Makam itu mungkin milik orang yang bernama Djehuty Mes yang namanya terukir di salah satu dinding di tempat penemuan. Makam itu juga mungkin milik penulis yang bernama Maati dan isterinya Mehi seperti mana yang telah dituliskan pada 50 kon pengebumian yang terdapat dalam ruang segi empat makam itu.

Kon pengebumian: antara artifak yang ditemui bersama mumia

Makam lain tidak digali dan hanya “ditemui” pada bulan April, lapor NST sambil mendedahkan bahawa kajian itu turut menjelaskan bahawa makam itu juga pernah digunakan semula pada zaman dahulu.

Makam itu mempunyai sebuah gelanggang yang dibarisi dengan dinding batuan dan bata lumpur. Ia mempunyai sebuah lubang yang terletak kira-kira enam meter di sebelah selatan yang membawa kepada empat ruang lain.

Makam ini mengandungi beberapa artifak dan menunjukkan gambaran jelas di mana seseorang, mungkin saudara lelaki yang meninggal itu, menyampaikan persembahan dan bunga kepada si mati yang berkemungkinan isterinya.

Show More

Related Articles

Back to top button