Isu SemasaTempatan

Sejauh Mana Keberkesanan Undang-Undang Gangguan Seksual?

Seperti kebanyakan wanita di seluruh dunia yang bersemangat dalam mengikuti gerakan #MeToo, Alina (bukan nama sebenar) menemui keberanian untuk membicarakan pengalamannya berhadapan dengan gangguan seksual.

Walau bagaimanapun adalah sukar bagi pereka bentuk dalam lingkungan umur 20-an ini untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah.

Sebagai seorang pekerja ‘freelance’, dia tidak dilindungi oleh  undang-undang utama yang melindungi wanita daripada gangguan seksual di Malaysia, yang terletak di bawah Akta Pekerjaan.

 

GANGGUAN SEKSUAL SIBER

Ujar seorang peguam, Syahredzan Johan,  mangsa kejadian gangguan seksual yang berlaku menerusi komunikasi elektronik boleh membuat aduan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Namun begitu perunding latihan dari All Women’s Action Society (AWAM) Betty Yeoh menegaskan,  ia menjadi masalah apabila mangsa perlu menunggu masa yang lama sebelum tindakan yang sepatutnya diambil.

“Dalam kejadian seperti ini, SKMM akan mengambil tindakan segera tetapi ia akan mengambil masa yang lama untuk mereka mengesan identiti si pelaku; terutamanya jika IP komputer pelaku adalah dari luar negara.

“Ini adalah salah satu sebab mengapa kumpulan wanita bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengkaji semula Rang Undang-Undang Gangguan Seksual, kata Yeoh.

Jelas beliau, terdapat peningkatan dalam kes gangguan seksual menerusi saluran siber tetapi undang-undang yang sedia ada tidak dapat menangani semua kes-kes ini secara menyeluruh.

Yeoh juga merupakan ketua bagi jawatankuasa kajian Rang Undang-undang gangguan seksual di bawah gabungan wanita Joint Action Group for Gender Equality (JAG).

Digubal buat pertama kali pada tahun 2001, Rang Undang-undang gangguan seksual telah menjadi subjek perbincangan hangat selama lebih dari satu dekad, lapor akhbar The Star.

Anggota JAG dan Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO)  kini optimis bahawa Rang Undang-undang itu akhirnya akan diluluskan oleh kementerian.

Namun begitu, ini tidak bermaksud kaum hawa di  Malaysia tidak dilindungi sama sekali daripada gangguan seksual di bawah undang-undang yang sedia ada.

 

KEKURANGAN DALAM UNDANG-UNDANG SEDIA ADA

Seperti yang dinyatakan oleh bahagian polisi  dan perancangan strategik kementerian,  Seksyen 509 Kanun Keseksaan ada mengatakan, perbuatan sengaja menghina kehormatan orang lain, sama ada menerusi perkataan, gerak isyarat dan / atau bunyi, adalah satu perbuatan jenayah serta boleh dihukum penjara selama sehingga lima tahun.

Terdapat juga Akta Pekerjaan. Akta ini mewajibkan semua majikan untuk mempunyai prosedur menangani aduan berkaitan gangguan seksual serta kewajipan untuk menyiasat aduan berkenaan.

Syahredzan mengutarakan contoh kes yang mengiktiraf kes gangguan seksual.

Dalam kes itu, mangsa memfailkan aduan kesalahan gangguan seksual terhadap majikannya. Namun, majikan tersebut membuat tuntutan saman dengan mengatakan dia telah difitnah.

Wanita tersebut kemudian membalas bahawa tindakan saman itu adalah tidak sah sambil menegaskan kes itu adalah benar-benar gangguan seksual.

Mahkamah Persekutuan akhirnya memutuskan untuk memihak kepada wanita itu, dengan memberikannya ganti rugi yang berjumlah sebanyak RM100,000.

Ruang undang-undang ini boleh digunakan untuk semua lapisan masyarakat, ujar Syahredzan.

“Walaupun kes tersebut antara seorang majikan lelaki dan pekerja wanita, ia boleh diguna pakai oleh jantina yang berbeza.

Namun  masih terdapat kekurangan dalam undang-undang seperti ini, terutamanya dalam mekanisma  serta penguatkuasaannya, kata Yeoh.

“Pertama,  Kanun Keseksaan tidak menyebut gangguan seksual secara jelas dalam undang-undang.

Anda juga perlu membuktikan kejadian ini berlaku tanpa keraguan munasabah. Kes-kes gangguan seksual biasanya berdasarkan penceritaan si pelaku dan mangsa.

Ramai orang tidak sangka akan diganggu secara seksual serta perlunya mengumpul bukti.

Itulah sebabnya kita memerlukan undang-undang yang lebih komprehensif dengan bidang penguatkuasaan yang lebih luas.

“Sekiranya terdapat bukti mencukupi yang menunjukkan suspek berkemungkinan tinggi telah mengganggu mangsa secara seksual, maka dia perlu disabit bersalah,” katanya sambil menambah bahawa dalam kejadian gangguan seksual, niat si pelaku adalah tidak penting.

“Si pelaku mungkin mengatakan bahawa dia tidak maksudkan apa-apa ketika berbuat demikian, dia hanya bergurau ataupun lain-lain lagi.

Namun ia bergantung kepada perasaan dan tindak balas mangsa – jika perlakuan itu tidak diinginkan- menyebabkan mangsa berasa tidak selesa serta terganggu, malah mewujudkan persekitaran yang tegang, maka ia adalah gangguan seksual, “kata Yeoh.

Akta Pekerjaan hanya meliputi tempat kerja serta tidak meliputi pekerja kontrak atau ‘freelance’, katanya.

 

UNDANG-UNDANG PERLU MENGIKUTI PEREDARAN MASA

Ini akan menjadi masalah pada masa akan datang kerana kehadiran teknologi sedang menggangu sistem pekerjaan lama.

Malah kini lebih ramai orang muda yang melibatkan diri dalam pekerjaan ‘freelance’ atau sambilan. Akta ini juga tidak terpakai di Sabah dan Sarawak.

Merujuk kepada seruan untuk meminda Akta Pekerjaan dan bukan memperkenalkan undang-undang baru, Yeoh berkata: “Akta Pekerjaan sangat spesifik kerana ia menyelidik kebajikan pekerja dan keadaan kerja.

Akan menjadi lebih mudah dan praktikal jika kita membuat Akta yang boleh berdiri dengan sendiri. “

Tambahnya lagi,  lebih baik bagi mangsa mendapatkan bantuan alternatif di bawah Rang Undang-Undang gangguan seksual.

 

USAHA KERAJAAN DALAM MENANGANI GANGGUAN SEKSUAL

Yeoh mengakui terdapat usaha dari pihak Kerajaan dalam mencegah gangguan seksual di tempat kerja, termasuklah pengenalan Kod Amalan Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual oleh kerajaan pada tahun 1999.

“Malangnya, kod itu merupakan  garis panduan semata-mata untuk majikan serta  tidak mempunyai kuasa undang-undang,” katanya.

Bermula Ogos 2010 hingga kini, hanya 400 dari 450,000 syarikat yang dilaporkan telah berdaftar serta telah melaksanakan kod tersebut secara aktif.

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Datuk Shamsuddin Bardan mengatakan  tindakan menyalahkan majikan sahaja adalah tidak adil

“Kebanyakan syarikat-syarikat ini adalah terdiri daripada syarikat-syarikat kecil atau sederhana – ada yang kurang daripada 10 pekerja – jadi gangguan seksual bukanlah menjadi satu perkara penting  bagi mereka.

“Walau bagaimanapun, ramai yang telah mengambil tindakan terhadap pelaku gangguan seksual apabila mereka menerima aduan dari pekerja biarpun syarikat tersebut tidak mempunyai polisi berkaitan gangguan seksual.”

Shamsuddin mengakui bahawa kesedaran tentang perkara ini adalah di tahap yang rendah.

 

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN UNDANG-UNDANG SEDIA ADA

“Kerajaan perlu memupuk kesedaran tentang apa itu gangguan seksual serta tindakan yang boleh diambil mangsa,” katanya.

Yeoh mencadangkan bahawa Kerajaan meniru Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSHA) untuk memastikan majikan melakukan perkara yang wajib.

“Di bawah OSHA, syarikat yang mempunyai lebih daripada 40 pekerja diwajibkan untuk membuat polisi keselamatan.

Kita boleh menguatkuasakan peraturan yang sama yang berkaitan dengan dasar dan mekanisma gangguan seksual.

Jika syarikat tersebut merupakan syarikat kecil, mereka mungkin perlu merangka dasar mereka sendiri untuk kegunaan ahli-ahli organisasi, “katanya.

Di tempat kerja, kita perlu melaksanakan dasar anti tindakan balas  untuk menggalakkan orang ramai supaya melaporkan kes mereka tanpa rasa takut terhadap tindakan daripada majikan.

Rang Undang-undang itu juga bertujuan untuk menubuhkan tribunal supaya siasatan dapat dijalankan dengan pantas.”

Untuk mengelakkan tuduhan palsu, JAG juga telah memasukkan fasal yang diperlukan dalam Rang Undang-undang itu, tambahnya lagi.

“Kita perlu berlaku adil terhadap semua pihak.

 

MENGUBAH MINDA MASYARAKAT TENTANG GANGGUAN SEKSUAL

Secara kritis, kita memerlukan prosedur yang jelas tentang bagaimana  aduan perlu dibuat serta bagaimana untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.

Kita juga perlukan individu yang relevan yang boleh dihubungi mangsa gangguan seksual untuk membantu serta memberikan mangsa kaunseling selepas melalui pengalaman yang traumatik. “

Namun Yeoh mengakui perkara ini akan tetap berlaku: Mangsa  enggan bersuara kerana takut.

Ini disebabkan budaya patriarki masyarakat kita, akui Yeoh.

“Lihatlah siapa yang selalu disalahkan dalam kes-kes seperti ini. Kita selalu bertanya ‘apa yang perempuan itu buat ketika itu?’, ‘apa yang dia sedang pakai?’.

Kita selalu menyalahkan kaum hawa. Ini adalah budaya kita. Ia adalah cara kita dididik. “

Penyokong undang-undang, Animah Kosai mengatakan perbuatan  menyalahkan kaum hawa itu juga adalah disebabkan “budaya macho”.

“Kaum Adam yang berkuasa sering dikelilingi oleh ‘pengikut-pengikut buta’ yang tidak mahu menentangnya serta sanggup menjatuhkan seorang wanita sekiranya wanita itu berani menuduh lelaki tersebut atas apa-apa kesalahan,” terang Kosai.

Hal ini merujuk pada sebuah kes di mana seorang wanita, kerana bimbang tentang keselamatannya ketika sedang berada di jalanan, telah bertanya pada seorang ahli politik di sebuah mesyuarat perbandaran tentang langkah-langkah untuk mengurangkan jenayah di jalan raya.

“Dia menjawab  soalan itu dengan berkata ‘hal ini berlaku kerana awak sangat cantik. Di masa hadapan pakai pakaian yang buruk-buruk.

Ketika itu ramai penonton mengetawakan wanita tersebut serta  terdapat mereka yang bersiul,”  terangnya sambil berkata bahawa tindak balas seperti inilah yang menyebabkan mengapa ramai wanita berasa sukar untuk membincangkan tentang gangguan seksual.

“Akan sentiasa ada lelaki atau wanita yang tidak baik. Namun orang-orang di sekeliling pesalah itu – yang buat tidak endah atau membenarkannya berlaku yang akan menyebabkan kejadian seperti ini berleluasa,” kata Animah.

Pada asasnya, kita memerlukan perubahan budaya, namun begitu undang-undang yang khas juga adalah penting.

Yeoh berkata: “Undang-undang gangguan seksual bukanlah untuk menyusahkan golongan  majikan atau kaum Adam.

Ia adalah untuk mewujudkan persekitaran bebas gangguan serta selamat bagi semua lapisan masyarakat.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker