AntarabangsaIsu Semasa

Had Laju Berbeza Mengikut Jenis Kenderaan

Dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan, kerajaan Arab Saudi akan memperkenalkan had kelajuan baru dengan memasang tanda-tanda amaran dan panduan di jalan raya.

Langkah yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan negara itu dijangka akan menjadi lebih berkesan dalam membendung kematian disebabkan kemalangan jalan raya, yang mencatatkan 1,864 kes dari bulan Januari hingga Oktober tahun ini.

Memetik laporan Arab News, matlamat kementerian tersebut adalah untuk mengurangkan kadar kematian sebanyak 25% menjelang tahun 2020.

Turki Al-Taaimi, ketua pengarah pemasaran dan komunikasi korporat di kementerian berkenaan berkata, tanda-tanda dan panduan di jalan raya akan mendidik pengguna mengenai had-had kelajuan sesuai yang berbeza mengikut jenis kenderaan yang dipandu.

Ini termasuk had kelajuan tersendiri bagi kenderaan sedan, bas, dan juga trak di jalan-jalan yang tertentu mengikut kesesuaian masing-masing.

Ujarnya, 140 kilometer (km) sejam adalah had kelajuan maksimum bagi kenderaan-kenderaan kecil.

Dalam pada itu, Al-Taiimi menyatakan bahawa program tersebut juga bermatlamat untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, di mana kementerian pengangkutan sedang terlibat dalam beberapa projek untuk memperbaiki keadaan jalan sedia ada.

Difahamkan, pelaksanaan sistem keselamatan baru ini akan bermula di sesetengah jalan raya utama, termasuk jalan Riyadh-Dammam, Riyadh-Taif dan Riyadh-Qassim, pada suku pertama tahun 2018.

Tahun lepas, kemalangan jalan raya telah meragut sebanyak 9,031 nyawa, yang bersamaan 12% daripada kematian keseluruhan yang berlaku di negara itu, dengan purata 25 kematian setiap hari atau lebih satu pada setiap jam.

Ia juga mencatatkan peningkatan kes kematian yang tertinggi sejak tahun 2007.

Dalam tempoh 10 tahun di antara 2006 dan 2016, kira-kira 78,487 orang maut akibat kemalangan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button