AntarabangsaIsu Semasa

Eropah Akan Tubuhkan ‘Amerika Syarikat’ Mereka Sendiri?

Baru-baru ini, pemimpin parti politik berhaluan tengah kiri Jerman, Martin Schulz, mengumumkan hasratnya untuk menubuhkan ‘Amerika Syarikat’ bagi Eropah menjelang tahun 2025.

Menurut Schulz yang juga bekas Presiden Parlimen Eropah, sebuah konvensyen perlu ditubuhkan bagi membina perlembagaan baru untuk Eropah dan mana-mana negara rantau itu yang tidak mematuhinya patut ‘ditendang keluar’ dengan serta-merta daripada Kesatuan Eropah (EU).

Schulz berkata demikian ketika ingin meminta kebenaran daripada partinya SPD, untuk mengadakan rundingan penubuhan kerajaan pakatan bersama parti pimpinan Canselor Jerman, Angela Merkel.

Memetik laporan Independent UK, Merkel masih belum mampu untuk menubuhkan kerajaan walaupun sudah hampir tiga bulan berlalu sejak pilihan raya pada September, dan beliau dilaporkan hanya boleh berbuat demikian dengan adanya sokongan pihak Schulz.

“Saya mahu sebuah perjanjian perlembagaan baru untuk menubuhkan ‘Amerika Syarikat’ di Eropah. Sebuah Eropah yang bukan ancaman kepada anggota-anggota negaranya, malah akan menjadi tambahan yang bermanfaat,” katanya.

Ujar Schulz, satu konvensyen akan merangka draf perjanjian ini dengan bekerjasama rapat dengan masyarakat sivil dan rakyat.

Hasilnya pula akan diserahkan kepada semua anggota negara, dan mana-mana negara yang tidak mengesahkan/menyokong perjanjian ini akan secara automatik dikeluarkan dari EU.

Rancangan untuk menubuhkan sebuah ‘Amerika Syarikat’ di Eropah yang digariskan oleh Schulz termasuk mewujudkan Menteri Kewangan Zon Euro bagi menyelaraskan perbelanjaan di seluruh blok itu, serta rangka kerja untuk menetapkan gaji minimum dalam usaha menghentikan pemotongan gaji.

Dalam pada itu, Schulz turut membincangkan prestasi parti SPD yang merudum di dalam pilihan raya tiga bulan lepas.

Dalam pilihan raya tersebut, SPD hanya berjaya meraih 20.5% undian berbanding 25.7% dalam pemilihan empat tahun lalu.

Walau bagaimanapun, SPD berada di tempat kedua dibelakang parti CDU/CSU pimpinan Merkel yang meraih 33% undian.

Sekiranya SPD bergabung dengan CDU sebagai kerajaan pemerintah, parti AfD yang memenangi 12.6% undian akan menjadi parti pembangkang yang terbesar.

Selain itu, parti FDP memenangi 10.7%, diikuti The Left (9.2%), dan parti Greens (8.9%).

Tags
Show More

Related Articles