AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Korea Utara Tidak Gentar Dengan Ancaman AS

Ketegangan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara dilihat semakin bertambah buruk disebabkan kedegilan Pyongyang untuk meneruskan program nuklear mereka, ditambah pula dengan pelbagai insiden ‘perang mulut’ dan provokasi di antara pemimpin kedua-dua negara.

Memetik laporan News Straits Times, walaupun rejim itu berjaya melaksanakan ujian-ujian peluru berpandu balistik mereka, penganalisis menyatakan bahawa ia tidak bermakna Pyongyang sudah mampu untuk menyerang bandar-bandar utama di AS seperti New York, Los Angeles, mahupun Kansas dengan sewenang-wenangnya.

Mereka masih perlu memastikan supaya senjata mereka dapat bertahan untuk menembusi atmosfera tanpa ‘hancur setengah jalan’.

Dalam pada itu, Korea Utara juga mungkin sedang memberi tumpuan untuk membangunkan Multiple Independent Reentry Vehicle (MIRV) di bawah program “ICBM 101” mereka.

Untuk menguatkan lagi kuasa nuklearnya, juruteknik-juruteknik senjata Kim Jong-un sedang berusaha untuk memuatkan setiap pelancar dengan lebih banyak kepala peledak nuklear, yang telah diprogramkan, supaya satu peluru berpandu boleh menghapuskan banyak sasaran sekali gus.

Sebagai contoh, Amerika Syarikat mempunyai sebuah senjata bernama LGM-30 Minuteman, yang membawa tiga MIRV, dan mempunyai kekuatan letupan di antara 300 hingga 500 kiloton setiap satu.

RT-2PM2 Topol-M milik Rusia pula mampu membawa di antara empat hingga enam MIRV, dengan 800 kiloton setiap satu.

Sementara itu, penganalisis pertahanan, David A. Ochmanek daripada institusi penyelidikan bukan keuntungan bernama Rand Corporation, menyatakan bahawa Korea Utara akan menggunakan senjata nuklear mereka sekiranya peperangan tercetus.

“Menghalang Kim Jong-un daripada menggunakan senjata nuklear adalah seperti mencuba untuk menghalang seseorang yang bakal menjalani hukuman mati dengan memberi ancaman untuk membunuhnya.

“Sebelum ia berlaku, dia sudah mengetahui nasibnya. Ia akan berakhir dengan kematiannya,” kata Ochmanek di sebuah konvesyen pada bulan September.

Ujarnya lagi, Pyongyang juga mempunyai artileri yang boleh memusnahkan kawasan metropoitan Seoul, Korea Selatan dengan menggunakan peledak nuklear atau senjata kimia dan biologi.

Oleh itu, ancaman AS untuk menghapuskan Korea Utara sepenuhnya tidak memberi sebarang kesan terhadap individu (Jong-un) yang tidak akan kehilangan apa-apa.

Walaupun AS mempunyai senjata nuklear yang lebih kuat, tidak dinafikan juga bahawa Pyongyang boleh menyebabkan kerosakan luar biasa terhadap Korea Selatan dan Jepun dengan menggunakan nuklear mereka.

Berdasarkan anggaran, jumlah kematian boleh mencecah satu juta orang pada hari pertama peperangan.

Satu senjata yang mempunyai kekuatan letupan sebanyak 150 kiloton, mampu meragut lebih dariapda 416,000 nyawa serta-merta dan juga menyebabkan kecederaan kepada 1.9 juta orang lagi.

Kini, pentadbiran Presiden Donald Trump dilihat tidak mempunyai pilihan lain, dan operasi ketenteraan juga tidak akan mendatangkan kesan yang besar.

Kewujudan tentera AS di Korea Selatan dan Jepun juga tidak cukup kuat untuk menentang ‘sifat agresif’ Pyongyang.

Namun, terdapat juga cadangan untuk melaksanakan serangan awal dengan menggunakan kapal selam yang mempunyai peluru berpandu Tomahawk bagi melumpuhkan infrastruktur peperangan Korea Utara.

Langkah ini berkesan semasa peristiwa Desert Storm I dan II, serta penaklukan AS ke atas Iraq pada tahun 2003.

Tetapi, adakah cara ini akan mampu melumpuhkan Korea Utara? Jawapannya adalah TIDAK.

Antara masalah utama yang akan dihadapi oleh AS adalah ia akan memakan masa berbulan-bulan bagi tentera negara itu untuk memindahkan aset, anggota tentera dan peralatan perang, serta mencari kedudukan sesuai untuk melancarkan serangan.

Dalam era teknologi ini, ia amat mudah untuk Pyongyang mengetahui taktik serangan AS, dan tidak akan berlaku lagi sebarang ‘kejutan’.

Sementara itu, Iraq tidak mempunyai senjata nuklear, kimia dan biologi seperti rejim Jong-un untuk memberi ancaman serangan terhadap AS.

“Jika anda menyerang (sesebuah negara) selepas mereka mempunyai senjata nuklear, ia bukan perang pencegahan. Ia adalah perang nuklear,” kata Jeffery Lewis, seorang pakar di Middlebury Institute of International Studies, baru-baru ini.

Tags
Show More

Related Articles