Isu SemasaTempatan

Jangan Terlalu Memilih Untuk Membeli Rumah

Rumah mampu milik yang berharga di antara RM 200,000 dan RM 250,000 wujud di seluruh negara, namun ia sukar untuk diakses kerana tahap kesedaran yang rendah di kalangan pembeli.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan (Rehda), Datuk Seri Fateh Iskandar Mohd Mansor menyatakan bahawa pembeli perlu mempunyai kesedaran yang lebih baik mengenai kewujudan rumah-rumah ini.

“Kita tahu bahawa rumah-rumah (mampu milik) ada di luar sana. Kita perlukan pihak berwajib untuk menyediakan data supaya orang ramai sedar bahawa hartanah-hartanah ini ada di seluruh negara.

“Walaupun kewangan merupakan sebuah isu, perlu ada kesedaran bahawa unit-unit rumah ini disediakan secara meluas,” katanya.

Sebuah tinjauan yang dilakukan oleh The Star pada hujung bulan Oktober menunjukkan bahawa rumah-rumah ini terdapat di sekitar kawasan Lembah Klang, iaitu Kajang, Bukit Jalil, Kepong, Setia Alam, Cheras, Klang dan Cyberjaya.

Berdasarkan hasil carian peta, rumah mampu milik di Lembah Klang itu kebanyakannya terletak lebih daripada 30 kilometer dari Pusat Bandar Kuala Lumpur.

Bergantung kepada lokasinya, unit-unit berkenaan dibina dengan ukuran di antara 662 kaki persegi dan 1,635 kaki persegi bagi rumah dua tingkat, serta mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Namun secara keseluruhan, 70% rumah mampu milik di dalam negara adalah pangsapuri atau apartment dan terdapat segelintir projek yang membina lebih daripada 2,000 unit.

Berdasarkan Jabatan Statistik, pendapatan isi rumah di Malaysia pada tahun lepas meningkat kepada RM 5,228 daripada RM 4,585 pada tahun 2014.

Dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM 5,228, harga rumah yang dianggap berpatutan bernilai sekitar RM 188,000, atau tiga kali ganda lebih daripada pendapatan tahunan isi rumah.

Sebagai panduan, The Star telah menyelidik rumah-rumah yang berharga di antara RM 200,000 dan RM 250,000.

Hasil tinjauan akhbar itu mendapati bahawa Malaysia kini mempunyai 10 program rumah mampu milik yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Program-program perumahan ini termasuk PR1MA, Rumah Selangorku, RUMAWIP, Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumah Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M), Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RMR1M), Rumah Idaman Rakyat (RIR), MyHome 1 dan MyHome 2, Rumah Mesra Rakyat Plus (RMRplus), Rumah Mampu Milik Johor dan Syarikat Perumahan Negara Bhd.

Walau bagaimanapun, pendaftaran perlu dilakukan di atas talian (online) dan pembeli juga perlu mematuhi syarat dan terma yang ditetapkan.

Kemudian, kerajaan akan memilih siapa yang layak untuk membeli rumah berkenaan dan juga menentukan lokasinya.

Menurut sebuah sumber industri, kerajaan memberi senarai nama bakal pembeli kepada pihak pemaju, di mana mereka akan menghubungi pembeli selepas itu.

“Pada ketika ini, mungkin akan timbul beberapa isu. Pembeli berpotensi mungkin tidak akan suka dengan unit yang ditawarkan atau lokasinya.

“Atau mereka yang telah dipilih mungkin tidak layak untuk jenis pembiayaan yang mereka mahukan. Atau mereka sudah pun mempunyai rumah sendiri,” kata sumber itu.

Tambah sumber itu lagi, margin untuk rumah mampu milik berada pada tahap yang rendah, ataupun tidak wujud langsung.

Pemaju mengambil masa yang lama untuk menjual rumah-rumah berkenaan dan unit yang tidak terjual merugikan mereka.

Namun, sebuah lagi sumber menyatakan bahawa segelintir pembeli rumah mempunyai sikap ‘terlalu memilih’/

Sebuah kajian yang dijalankan oleh sumber berkenaan mendapati bahawa pembeli rumah pertama lebih gemar dengan lokasi-lokasi ‘hotspot’ seperti Hartamas, Damansara, atau pusat bandar Kuala Lumpur, tetapi kebanyakan rumah mampu milik terletak di pinggir bandar.

Tags
Show More

Related Articles