AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Donald Trump Mencetuskan Kemarahan Dunia

Awal pagi tadi (waktu tempatan), seluruh dunia dikejutkan dengan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump apabila beliau mengiktiraf Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota Israel secara rasmi, sekali gus melakar sejarah kerana menjadi presiden AS yang pertama untuk berbuat demikian.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan rancangan untuk memindahkan kedutaan negaranya itu dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Walau bagaimanapun, peristiwa ini ternyata mencetuskan kemarahan sekutu-sekutu Barat dan juga dunia islam, khususnya penduduk serta kerajaan Palestin.

KEMARAHAN PALESTIN

Presiden Palestin, Mahmoud Abas menggelar Baitulmaqdis sebagai “ibu kota Palestin yang kekal buat selama-lamanya.”

Beliau berkata, keputusan Trump menunjukkan bahawa AS gagal memainkan peranannya sebagai ‘orang tengah’ dalam usaha menyelesaikan konflik Palestin-Israel yang telah berlangsung selama berdekad-dekad.

Tegasnya lagi, peristiwa ini juga boleh mencetuskan perang agama di rantau Timur Tengah.

“Langkah-langkah ini, yang kami tolak dan enggan terima, mencipta kekangan yang sengaja diadakan terhadap semua usaha ke arah mewujudkan keamanan.

“Ia juga mencerminkan penarikan diri Amerika Syarikat dari peranan yang telah dipegangnya pada masa lalu dalam mengawasi proses perdamaian,” kata Abbas.

Dalam pada itu, peristiwa ini juga menunjukkan secara jelas bahawa Trump “tidak cakap serupa bikin” dalam menjadi orang tengah, kerana beliau dilihat lebih berpihak kepada Israel di dalam konflik berkenaan.

ISRAEL TIDAK PERNAH DIIKTIRAF OLEH KOMUNITI ANTARABANGSA

Seorang pegawai kanan Hamas, Ismai Radwan telah meminta kepada Abbas supaya mengisytihar Perjanjian Damai Oslo 1993 sebagai satu perjanjian yang gagal.

Menurut perjanjian tersebut, status Baitulmaqdis sepatutnya dibincangkan dalam sesi rundingan damai yang akan datang.

Hamas juga menyifatkan tindakan Trump sebagai pencerobohan terhadap Palestin sambil menegaskan ia perlu dihalang dalam apa jua cara/keadaan sekali pun.

“Kami menolak keputusan ini yang jelas satu pencerobohan ke atas rakyat, bangsa, sebab dan prinsip. Ia juga satu langkah bahaya dalam berdepan konflik pencerobohan Zionis,” kata Ismail.

Baitulmaqdis telah ditakluki oleh Israel dalam sebuah pencerobohan tentera Zionis pada 1967, dan komuniti antarabangsa tidak pernah sekali pun mengiktiraf kedaulatan Israel sebagai sebuah negara.

APA STATUS TERKINI BAITULMAQDIS?

Baitulmaqdis merupakan tapak suci bagi agama Islam, Yahudi, serta Kristian, dan ia merupakan cabaran utama untuk mencapai perjanjian damai di antara Palestin dan Israel.

Walaupun telah mengiktiraf bandar itu sebagai ibu kota Israel, Trump menyatakan bahawa keputusan itu tidak akan mengubah status quo Baitumaqdis sebagai kota suci kepada tiga agama berkenaan..

“Baitulmaqdis bukan sahaja kota suci kepada tiga agama (Islam, Yahudi dan Kristian), ia adalah jantung kepada demokrasi paling berjaya di dunia,” ujarnya.

Difahamkan, presiden itu turut menyerahkan kepada Israel dan Palestin untuk berbincang dan membuat keputusan mengenai garis sempadan yang memisahkan kedaulatan kedua-dua negara tersebut.

“Kami tidak mengambil sebarang pendirian dalam menentukan garis sempadan, ia bergantung kepada pihak yang terlibat (Palestin dan Israel),” kata Trump.

PERANCIS KUTUK TINDAKAN TRUMP

Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut meluahkan kekecewaan dan kebimbangannya terhadap pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Macron menegaskan bahawa status bandar tersebut hanya boleh ditentukan oleh Palestin dan Israel, mengikut rangka perundingan yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ujar beliau, keputusan Trump secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa dan semua resolusi PBB.

“Saya sudah menyatakan dengan jelas kepada Presiden Trump ketika pertemuan kami dua hari lalu.

“Status Baitulmaqdis melibatkan soal keselamatan antabarangsa dan komuniti antarabangsa,” kata Macron.

Tambah Macron, Perancis juga akan terus komited terhadap keamanan dalam rantau tersebut dan tidak akan mengubah pendirian untuk melihat Palestin dan Israel mencapai keamanan.

APA KATA MALAYSIA MENGENAI ISU INI?

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan bahawa keputusan Trump akan memberi impak negatif yang boleh mencetuskan tindakan radikal yang lebih dasyat dalam kalangan penentangnya, termasuk umat Islam sendiri.

“Dalam keadaan dunia sedang mencari penyelesaian, tetapi ada seolah-olah tindakan provokatif yang tidak menguntungkan dunia.

“Saya bimbang ia akan mencetuskan fenomena radikalisme yang lebih dahsyat. Kita tidak dapat membendung segelintir tindakan masyarakat dunia, termasuk umat Islam yang agresif,” kata beliau kepada Berita Harian.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, peristiwa ini menamatkan segala usaha dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan rakyat Palestin.

“Ia akan memberi kesan amat buruk  bukan sahaja kepada keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan, tetapi turut menyemarakkan sentimen, sekali gus semakin menyukarkan usaha memerangi keganasan,” menurut kenyataan itu.

Tegas Wisma Putra, sebarang percubaan untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel merupakan pencerobohan bukan sahaja terhadap Arab dan umat Islam, tetapi ia turut melanggar hak umat Islam dan penganut Kristian.

“Ia juga melanggar hak kewarganegaraan penduduk Palestin, termasuk hak mereka untuk menentukan sendiri masa depan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dahsyat, termasuk resolusi Majlis Keselamatan yang relevan, iaitu Resolusi No. 252 (1968), 267 (1969), 465, 476 dan 478 (1980) dan terkini, Resolusi 2334 (2016).

“Mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel bukan dibuat berdasarkan realiti, sebaliknya suatu pernyataan sokongan kepada dasar Israel, lebih kepada perbuatan melanggar undang-undang antarabangsa. Besar kemungkinan ia tidak betul,” tambah Wisma Putra.

Tags
Show More

Related Articles