AntarabangsaIsu Semasa

Ramai Belia “Malu Dan Menyesal” Kerana Sertai Militan IS

Umum mengetahui bahawa pengaruh kumpulan militan IS di kubu kuat mereka di Iraq dan Syria telah ‘terkubur’ hasil daripada pelbagai operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh pasukan kerajaan.

Kini, lebih daripada 300 rekrut IS (golongan belia) di Austria yang sedang menjalani hukuman penjara berasa amat kesal dengan keputusan mereka untuk menyertai kumpulan berkenaan.

“Mereka nampak apa yang dilakukan oleh IS di Syria dan Iraq, dan mereka (rekrut) telah memutuskan untuk pulang semula ke negara mereka, diikuti perasaan sedih (menyesal) di atas perbuatan mereka,” kata Ramazan Demir, seorang pegawai penjara di Austria dalam satu temu bual eksklusif bersama agensi berita Turki, Anadolu Agency.

 

MALU DENGAN DIRI DAN KELUARGA

Demir yang berpeluang untuk bercakap dengan lebih daripada 100 orang belia tersebut, menyatakan bahawa mereka juga berasa malu dengan diri sendiri dan orang lain, khususnya keluarga di atas perkara-perkara yang telah dilakukan.

“Dia (salah seorang rekrut yang tidak dinamakan) berasa amat malu. Dia tidak dapat pandang wajah ibu bapanya lagi,” kata beliau sambil menambah bahawa rekrut itu juga kerap menyatakan dia ingin membunuh diri kerana tidak mampu untuk menghadapi kehidupannya sekarang.

Tambah Demir, beliau telah menyediakan perkhidmatan keagamaan kepada 2,000 pesalah beragama Islam di Australia sejak tujuh tahun lalu.

 

IS TIADA KAITAN DENGAN ISLAM

Pegawai penjara itu juga telah memberi kaunseling kepada belia-belia yang mempunyai pandangan serta idea yang radikal, termasuk penyokong-penyokong serta anggota aktif kumpulan IS.

“Saya ingin menunjukkan orang ramai (menerusi Al-Quran) bahawa IS tidak ada kaitan dengan Islam, dan mendedahkan ‘wajah sebenar’ mereka kepada orang-orang yang menyokong mereka,” ujarnya lagi.

Kini, terdapat 67 orang individu yang telah disabitkan bersalah kerana mempunyai kaitan dengan IS sedang menjalani hukuman penjara.

Demir berkata, 20 orang daripada jumlah itu ditangkap di sempadan apabila mereka sedang cuba untuk menyertai IS.

 

BEKAS BANDUAN BAWA PESALAH KEMBALI KE PANGKAL JALAN

Sejak 5 tahun lalu, lebih daripada 100 orang pesalah telah dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara mereka.

Menurut Demir, bekas-bekas banduan tersebut kini melawat penjara dengan kerap dalam usaha untuk melakukan deradikalisasi dan mengembalikan tahanan ke pangkal jalan.

“Mereka yang tidak mendapat kasih sayang daripada bapa selalunya cuba untuk ‘mengisi ruang kosong’ (dalam diri mereka) dengan menyertai kumpulan-kumpulan yang merbahaya,” tambahnya lagi.

 

RAMAI BELIA TERPENGARUH DENGAN PROPAGANDA IS

Selain daripada Austria, banyak negara-negara lain di Eropah turut menghadapi masalah yang sama, di mana belia-belia yang terpengaruh dengan propaganda IS di atas talian, lari daripada rumah mereka untuk menyertai kumpulan itu.

Islam telah menjadi sebuah agama rasmi di Austria sejak tahun 1912 lagi dan negara tersebut kini mempunyai lebih daripada 500,000 orang Islam yang bersamaan 6% daripada keseluruhan populasi.

Tags
Show More

Related Articles