Isu SemasaTempatan

Rakyat Malaysia Runsing Terhadap Lambakan Pekerja Asing

Satu kajian yang dijalankan oleh firma penyelidikan dan firma pendapat bebas global, Ipsos Loyalty, telah mendapati bahawa majoriti rakyat Malaysia paling bimbang dengan kawalan imigresen yang lemah terhadap pekerja asing dalam negara.

Dalam kajian yang berjudul “What Worries Malaysia”, Ipsos juga mendapati bahawa kelakuan kerajaan dan korporat tentang pentadbiran negara menjadi kebimbangan kedua manakala pengangguran merupakan kebimbangan ketiga yang menghantui rakyat Malaysia.

Firma yang berpangkalan di Paris itu membuat tinjauan berkenaan selaras dengan kajian global 26 negara “What Worries the World” dan meninjau lebih daripada 2,000 rakyat Malaysia atas kebimbangan mereka mengenai negara.

Kajian di Malaysia mendapati bahawa isi rumah Melayu dengan pendapatan di bawah RM3,000 dan yang di tinggal kawasan luar bandar adalah yang paling bimbang tentang persepsi imigresen pekerja asing yang tidak terkawal.

Terdapat perkaitan antara kebimbangan terhadap kawalan imigresen pekerja asing dan pengangguran. Kajian masa lalu Ipsos menunjukkan bahawa apabila kadar pengangguran meningkat, kebimbangan terhadap imigresen yang tidak terkawal cenderung untuk meningkat.

Oleh itu, berkemungkinan jika kadar pengangguran melebihi 4 peratus, kebimbangan terhadap imigresen pekerja asing yang tidak terkawal di Malaysia akan meningkat dengan ketara, lapor TheMalayMailOnline.

Kebanyakan pekerja asing bekerja dalam industri pembinaan

Menurut statistik Kementerian Dalam Negeri, terdapat kira-kira 1.9 juta pekerja asing yang didokumenkan di negara ini yang membentuk kira-kira 14 hingga 15 peratus tenaga kerja tempatan. Kementerian tidak mempunyai data semasa mengenai pekerja asing haram.

Bagaimanapun, tidak seperti di negara yang lebih maju seperti United Kingdom, Australia, Eropah dan Amerika Syarikat, kebimbangan di Malaysia bukanlah bersifat perkauman tetapi berpunca dari kebimbangan terhadap periuk nasi mereka.

Salah satu kebimbangan utama di Australia, AS, UK dan Eropah adalah kebimbangan yang lebih bersifat sosial, ketakutan terhadap perubahan budaya mereka dan itu adalah kesan perkauman. Di Malaysia, ia adalah impak ekonomi, tanpa implikasi sosial dan ia hanya memberi kesan kepada keluarga berpendapatan rendah.

Kajian itu juga mendapati bahawa walaupun kebimbangan terhadap pengangguran meningkat, mereka yang benar-benar terkesan olehnya adalah golongan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM1,000, wanita Melayu tunggal dan belia dari Generasi Z (umur 15 hingga 24 tahun).

Tags
Show More

Related Articles