AntarabangsaIsu SemasaPolitik

50% Rakyat Britain Mahu Referendum Brexit Kedua

Separuh rakyat Britain mahukan referendum Brexit, iaitu penceraian Britain daripada Kesatuan Eropah (EU)  untuk diadakan buat kali kedua kerana bimbang dengan keadaan ekonomi dan kewangan negara itu sekiranya keluar daripada EU.

Ini menjadi bukti bahawa ramai rakyat sudah mula ‘menyesal’ akan keputusan mereka pada tahun lepas yang memilih ‘Ya’ untuk penceraian tersebut.

Berdasarkan sebuah tinjauan pendapat, 50% responden menyokong undian kali kedua dengan harapan Britain akan terus kekal dalam EU, 34% tidak bersetuju manakala 16% lagi “tidak tahu”.

Memetik laporan Reuters, 35% rakyat negara itu berpandangan bahawa Britain akan menjadi lebih teruk dari aspek kewangan selepas Brexit, sementara 14% lagi berpendapat ia akan menjadi lebih baik.

Tinjauan pendapat tersebut dilaksanakan oleh sebuah syarikat penyelidikan bernama Survation, di mana ia telah menemubual seramai 1,003 orang dewasa di Britain di antara 30 November dan 1 Disember 2017.

Dalam pada itu, Mike Smithson, seorang penganalisis politik dan bekas ahli Demokrat Liberal, yang mengendalikan laman web www.politicalbetting.com, menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama orang ramai mahukan referendum Brexit yang kedua berbanding pelbagai tinjauan pendapat lain yang telah dilakukan sebelum ini.

Difahamkan, ini juga merupakan tinjauan pendapat yang paling besar pernah dilakukan sejak Britain membuat persediaan untuk membayar €50 billion (RM 240 bilion) untuk membuka jalan bagi mengadakan rundingan perjanjian perdagangan bersama EU pada masa akan datang.

Sejak referendum pada tahun 2016. ‘pembangkang’ berprofil tinggi utama penceraian itu, termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron, bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan juga pelabur jutawan, George Soros, mencadangkan supaya Britain masih boleh mengubah fikiran dan mengelak daripada berlakunya malapetaka terhadap ekonomi negara itu.

“Masih boleh berpatah balik. Ia (proses Brexit) tidak selesai sehingga ia dikuatkuasakan,” kata Blair sambil menambah bahawa rundingan adalah sesuatu perkara yang mustahil.

“Mereka (kerajaan) sedang cuba berunding untuk keluar daripada pasaran tunggal sambil mencipta semula semua manfaatnya. Ini tidak akan berlaku,” tambah Blair.

Tinjauan pendapat berkenaan dilakukan oleh Survation untuk rujukan organisasi-organisasi media di Britain termasuk BBC, Sky News, Daily Telegraph dan juga The Guardian.

Tags
Show More

Related Articles