AntarabangsaIsu Semasa

Pusat Rehabilitasi Militan Seperti ‘Hotel 5 Bintang’?

Apa yang anda bayangkan apabila mendengar perkataan ‘pusat rehabilitasi’? Pasti anda menggambarkan suasana seperti berada di dalam penjara bukan?

Tetapi jangan terkejut. Sebuah pusat rehabilitasi untuk kumpulan militan di Arab Saudi amat berbeza dan tidak seperti yang disangkakan, kerana ia mempunyai kemudahan dan perkhidmatan seperti yang terdapat di hotel-hotel 5 bintang.

Antara kemudahan yang disediakan di pusat tersebut termasuk kolam renang tertutup (indoor), gimnasium, dewan makan serta makanan lazat, kakitangan-kakitangan profesional, dan juga hiburan seperti televisyen, internet dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, malah pusat pemulihan itu turut menyediakan apartment untuk anggota-anggota keluarga yang datang melawat mereka.

Namun, mengapa Arab Saudi mengambil pendekatan ‘mewah dan berkontroversi’ ini untuk memulihkan militan?

Seperti yang kita tahu, perjuangan menentang keganasan dan terorisme selalunya dilakukan menerusi operasi ketenteraan dan kekerasan, tetapi Pusat Kaunseling dan Penjagaan Putera Mohammed bin Nayef ini berpandangan bahawa cara untuk menangani ekstremisme adalah pemulihan ideologi.

“Fokus kami adalah terhadap memulihkan/membetulkan pemikiran, salah faham, (dan) penyimpangan mereka daripada Islam,” kata Yahya Abu Maghayed, pengarah di pusat berkenaan.

Yahya berkata, pihaknya ingin memberi peluang kepada anggota-anggota militan untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa sekali gus kembali semula di pangkuan masyarakat.

Tambahnya lagi, pusat itu juga tidak menggelar mereka sebagai ‘tahanan’ atau ‘banduan’.

 

KADAR KEBERKESANAN PEMULIHAN 86%

Memetik laporan Channel News Asia, pusat pemulihan yang ditubuhkan pada tahun 2004 tersebut telah merawat lebih daripada 3,300 individu yang disabitkan dengan jenayah berkaitan keganasan, termasuk bekas tahanan di Guantanamo Bay

Ujar Yahya, pusat pemulihan tersebut juga mencatatkan kadar kejayaan 86% dalam usaha memulihkan militan, memandangkan kebanyakan individu yang sudah keluar dari pusat itu tidak lagi ‘kembali ke jalan lama’ mereka.

Walau bagaimanapun, seorang pakar terorisme warga Amerika Syarikat (AS) yang telah mengkaji program itu dengan terperinci, mendakwa bahawa terdapat ramai juga bekas militan yang muncul semula di medan pertempuran.

“Arab Saudi perlu dipuji kerana cuba melakukan sesuatu perkara yang lain – mereka merupakan antara pihak yang utama untuk mencuba kaedah pemulihan ini untuk pengganas,” kata John Horgan, seorang lagi pakar di Georgia State University.

Namun, Horgan menyatakan bahawa tanpa ketelusan yang lebih tinggi mengenai peserta-peserta program itu, ia mustahil untuk mengetahui nilai-nilai yang diterapkan (di pusat pemulihan tersebut) dalam usaha mengurangkan ancaman penglibatan semula bekas militan dalam keganasan.

 

KEKERASAN BUKAN PENYELESAIAN

Menurut Yahya, anggota militan yang tidak insaf atau berubah selepas tempoh minimum tiga bulan berada di pusat pemulihan itu akan menjalani semula proses kehakiman.

Dalam pada itu, pusat tersebut mengambil pendekatan psikologi yang amat ‘berperikemanusiaan’, iaitu dengan menggalakkan militan untuk memperbaiki hubungan kekeluargaan mereka, berkahwin dan mempunyai zuriat berbanding menggunakan kekerasan untuk memulihkan mereka.

“Anda tidak boleh menentang keganasan dengan kekerasan. Hanya idea sahaja boleh melawan idea,” kata Ali al-Afnan, pakar psikologi pendidikan di pusat berkenaan.

Antara kisah kejayaan program itu paling menginspirasikan melibatkan seorang militan yang pernah berjuang bersama-sama Taliban di Afghanistan.

Kini sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, dia (bekas militan) masih meminta nasihat daripada Afnan untuk melanjutkan pelajarannya dalam universiti.

“Individu ini adalah contoh kami. Satu contoh yang amat menyerlah tentang bagaimana setiap individu layak untuk diberi peluang kedua dalam kehidupan,” kata Afnan.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button