AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pengaruh China Semakin Kuat Dalam Politik Australia?

Kerajaan Australia akan mengharamkan derma politik dalam usaha membendung campur tangan pihak asing dalam arena politik tempatan.

Langkah ini diambil susulan kebimbangan Australia terhadap pengaruh China yang semakin kuat dalam menentukan hala tuju proses politik negara itu.

“Kuasa asing telah membuat percubaan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini untuk mempengaruhi proses politik Australia dan seluruh dunia,” kata Perdana Menteri, Malcolm Turnbull dalam satu kenyataan.

Memetik laporan Straits Times, Australia dan negara jirannya, New Zealand merupakan segelintir negara di seluruh dunia yang membenarkan parti politik mereka menerima derma daripada pihak asing.

Walau bagaimanapun, derma sedemikian dilarang di Amerika Syarikat (AS), Britain dan juga beberapa negara Eropah.

Dalam pada itu, undang-undang baru Australia yang memperuntukkan pengharaman derma asing dirangka berlandaskan Akta Pendaftaran Agen Asing AS.

Menurut laporan, Beijing mungkin sedang memperluaskan pengaruhnya berikutan kontroversi ‘hubungan’ ahli politik Australia dan kepentingan kerajaan China yang semakin hangat diperdebatkan.

Pada bulan Jun, Fairfax Media dan Australian Broadcasting Corporation melaporkan bahawa China mengadakan sebuah kempen untuk “mengintip” politik Australia bagi mempromosikan kepentingan-kepentingan mereka.

Tetapi, Beijing menafikan dakwaan tersebut, di mana Kementerian Luarnya menyifatkan perkara itu sebagai “tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.”

Walau bagaimanapun, Senator pembangkang terkemuka Australia, Sam Dastyari telah berundur daripada beberapa jawatan kanan dalam Parti Buruh pada minggu lepas apabila terdedah sebuah video yang menunjukkan bahawa beliau menyokong usaha China dalam memperluaskan pengaruh di beberapa kawasan dipertikaikan di Laut China Selatan.

“Saya, sama seperti rakan-rakan yang lain, mengambil serius laporan-laporan ini. Namun, undang-undang baru ini bukan (diwujudkan) kerana mana-mana negara (lain).” kata Turnbull.

Tegas beliau, campur tangan asing dalam politik sesebuah negara merupakan isu global, dengan memberi contoh kes campur tangan Rusia dalam Pilihan Raya Presiden AS 2016.

“Ancaman ini benar,” tambahnya lagi.

Sekiranya diluluskan di Parlimen, undang-undang baru ini akan mengharamkan derma dari pihak asing kepada mana-mana parti atau kumpulan politik yang telah membelanjakan lebih daripada A$ 100,000 (RM 310,660) dalam kempen mereka sejak empat tahun lalu.

Namun, undang-undang ini mungkin akan turut memberi kesan terhadap kumpulan-kumpulan kempen alam sekitar dan lain-lain.

Susulan itu, sebuah kumpulan aktivis tempatan bernama GetUp!, iaitu kumpulan bukan partisan namun pengkritik tegar kerajaan, juga akan diharamkan di bawah undang-undang tersebut.

Tetapi, GetUp! menyatakan bahawa hanya 0.5% daripada derma-derma yang diterima adalah dari pihak asing.

Mereka turut mengkritik undang-undang baru itu dan menyifatkannya sebagai cubaan kerajaan untuk mengelak dasar-dasarnya daripada dipantau.

Selain itu, definisi “pembelotan” dan “pengintipan” juga diperluaskan lagi di bawah undang-undang berkenaan.

Tags
Show More

Related Articles