AntarabangsaIsu Semasa

Pedofil Sasar Mangsa Secara ‘Live’

Penyiaran secara langsung atau live streaming di atas talian kini menjadi platform bagi golongan pedofil di Britain untuk melakukan sexual grooming (persediaan seksual), memeras ugut dan menganiaya mangsa-mangsa mereka.

Polis Britain berkata, penjenayah akan ‘menyerang’ sasaran mereka dengan memberi komen, cabaran, ancaman atau menawarkan ‘ganjaran’ dalam usaha memujuk mangsa untuk menanggalkan pakaian mereka di hadapan web cam.

Memetik laporan Sky News, amaran tersebut dikeluarkan oleh polis selepas penahanan 192 orang suspek pedofil dalam sebuah operasi besar-besaran pada bulan Oktober.

Menurut Agensi Anti Jenayah Kebangsaan (NCA), seramai 245 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil daripada pelaksanaan operasi berkenaan.

Kira-kira 30% daripada kes yang dilaporkan melibatkan pemerasan ugut secara langsung dan sexual grooming.

Lebih menyedihkan, 18 suspek yang ditahan merupakan orang-orang yang dipercayai oleh mangsa, termasuk guru, kakitangan kesihatan dan lain-lain.

Ketua jabatan perlindungan NCA, Zoe Hilton menyatakan bahawa pesalah-pesalah mengkaji dan menyesuaikan diri dengan perubahan kelakuan kanak-kanak di atas talian (online).

“Individu-individu ini (pedofil) sedang mempelajari bagaimana orang muda berkomunikasi di atas talian dan menggunakan ‘ilmu pengetahuan’ ini untuk menghubungi, berkawan, dan (kemudian) menganiaya mereka,” katanya.

Ujar Hilton, ia adalah satu perkara yang bagus untuk mengetahui bahawa ibu bapa sedar akan bahaya yang dihadapi oleh kanak-kanak di atas talian.

Namun, ibu bapa juga perlu lebih arif tentang bagaimana anak-anak mereka berkelakuan apabila berada di berinteraksi di alam maya.

“Pesalah akan mengambil kesempatan terhadap orang muda di atas talian memandangkan sifat malu mereka turut berkurangan di sana,” jelas Hilton.

Tambahnya lagi, beliau juga menggalakkan ibu bapa untuk menasihati anak-anak mereka mengenai hubungan yang sihat dan bagaimana untuk mengesan penipuan individu-individu di internet.

Sementara itu, Ketua Konstabel Polis, Simon Bailey turut menyeru syarikat-syarikat gergasi internet untuk menghulurkan bantuan dalam membanteras gejala ini di platform masing-masing.

 

Tags
Show More

Related Articles