AntarabangsaIsu Semasa

Myanmar Digesa Serah Laporan Jenayah Terhadap Wanita

Panel hak asasi wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menggesa Myanmar untuk menyerahkan laporan dalam masa enam bulan tentang kes rogol dan keganasan seksual terhadap wanita dan gadis Rohingnya yang dilakukan oleh pasukan keselamatan di wilayah utara Rakhine serta tindakan yang diambil untuk menghukum anggota tersebut.

Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) juga meminta pihak berkuasa untuk menyediakan butiran tentang wanita dan gadis yang terbunuh di dalam keganasan sejak tindakan keras tentera itu bermula pada hujung bulan Ogos.

Tindakan tersebut telah menyebabkan lebih daripada 600,000 Rohingnya untuk melarikan diri ke Bangladesh dan meninggalkan kampung mereka.

Permintaan “laporan luar biasa” (exception reports) daripada sesebuah negara jarang berlaku dan merupakan permintaan keempat daripada panel tersebut sejak tahun 1982.

“Kami meminta sebuah laporan luar biasa daripada wilayah itu apabila situasi pelanggaran berat, besar dan sistematik berlaku dan isu ini berkaitan dengan mandat Jawatankuasa,” ahli panel Nahla Haidar memberitahu Reuters.

“Laporan luar biasa ini seperti isyarat amaran,” katanya. Langkah ini bertujuan membantu pihak berkuasa Myanmar keluar daripada konflik baru-baru ini yang telah memundurkan negara berkenaan yang sebelum ini mengambil langkah yang betul ke arah pendemokrasian.

Panel pemerhati PBB, yang terdiri daripada 23 pakar tersendiri, menetapkan tempoh masa enam bulan untuk kerajaan itu menyerahkan laporan kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

“Jawatankuasa meminta maklumat mengenai kes-kes keganasan seksual, termasuk rogol, terhadap wanita dan gadis Rohingya yang dilakukan oleh pasukan keselamatan negeri; dan memberi butiran mengenai jumlah wanita dan gadis yang telah terbunuh atau telah mati disebabkan sebab-sebab bukan semulajadi yang lain ketika keganasan terbaharu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Haidar berkata, pakar-pakar meminta maklumat atas “siasatan, tangkapan, pendakwaan, sabitan dan hukuman atau tindakan disiplin yang dikenakan ke atas pelaku, termasuk anggota angkatan tentera, yang didapati bersalah melakukan jenayah sedemikian.”

Khususnya, mereka mencari maklumat tentang batalion yang telah menjalankan “operasi pembersihan” di wilayah utara Rakhine sejak 25 Ogos “dan di bawah arahan siapa.

Mereka ingin tahu sama ada arahan telah diberi ataupun sedang dikeluarkan kepada semua bahagian anggota tentera yang menyatakan bahawa penyeksaan, keganasan seksual dan pengusiran adalah diharamkan “dan mereka yang bertanggungjawab akan didakwa dan dihukum.”

Panel tersebut berkata mereka ingin tahu berapa ramai wanita dan gadis Rohingnya sedang ditahan oleh pasukan keselamatan.

Pope Francis menyeru pemimpin-pemimpin Myanmar, yang terperangkap dalam krisis ini untuk melakukan keadilan kepada hak asasi manusia dan menghormati “setiap kumpulan etnik dan identiti mereka.”

Tags
Show More

Related Articles