Isu SemasaKesihatanTempatan

Ketidaksuburan Meningkat Di Malaysia

Walaupun Malaysia tidak mempunyai statistik rasmi tentang kadar ketidaksuburan, terdapat peningkatan yang jelas di kalangan pasangan yang sukar mendapatkan cahaya mata walaupun telah berkahwin selama beberapa tahun.

Pakar sakit puan, Dr Azirawaty Mohd Tadzri, yang merupakan rakan sebuah klinik di Ampang, Selangor, berkata wanita pada zaman dahulu cenderung hamil dalam masa tiga bulan selepas berkahwin, pada zaman sekarang ia mengambil masa setahun atau dua untuk mengandung walaupun mereka sihat tubuh badan dan mempunyai rahim dan ovum (telur wanita) yang sihat.

“Hampir 70 peratus pesakit saya (yang sukar untuk memulakan keluarga) yang berjumpa dengan saya untuk konsultasi dan rawatan berumur kurang daripada 30 tahun dan kebanyakkan daripada mereka telah berkahwin selama dua atau tiga tahun,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata tanggapan ketidakupayaan untuk hamil adalah disebabkan ketidaksuburan wanita tidak boleh digunakan lagi kerana kajian menunjukkan ketidaksuburan lelaki juga semakin meningkat disebabkan penurunan kualiti sperma.

“Apabila memeriksa sampel sperma, kita dapat menentukan kualitinya dengan melihat berapa pantas ia bergerak, dan juga jumlah sperma.

“Ketika pemerikasaan terperinci di bawah mikroskop, kami selalu melihat sperma yang tidak sihat, bahkan yang cacat yang mempunyai dua atau tiga kepala,” katanya sambil menambah bahawa tabiat gaya hidup yang tidak sihat adalah antara sebab penurunan kualiti sperma.

Menurut laporan Perangkaan Penting Malaysia 2017, kadar kesuburan negara pada tahun 2016 merupakan yang paling rendah yang pernah dicatatkan sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, dengan kadar kesuburan setiap wanita berumur 15 hingga 49 tahun pada tahun 2016 adalah 1.9 anak, berbanding 2.0 anak pada tahun 2015.

Kadar kesuburan di Malaysia telah berada di bawah paras penggantian 2.1 anak, iaitu purata bilangan bayi yang dilahirkan setiap wanita sepanjang tempoh kesuburannya adalah tidak mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya.

Berjumpa dengan pakar kesuburan

Terdapat beberapa kaedah rawatan jika pasangan sukar untuk mendapatkan anak. Antaranya adalah;

Suntikan hormon – Kaedah ini boleh merangsang ovari untuk menghasilkan lebih banyak telur, sekali gus meningkatkan peluang wanita untuk hamil.

Intrauterine insemination (IUI) – Ia adalah satu prosedur di mana sel-sel sperma disuntik melalui kateter ke dalam rahim wanita dan kemudian ke dalam salah satu tiub fallopian.

Vitro fertilisation (IVF) –  IVF melibatkan pengambilan telur daripada wanita dan mengambil sampel sperma suaminya dan kemudian secara manual menggabungkan telur dan sperma dalam piring petri. Embrio tersebut kemudiannya dipindahkan ke dalam rahim.

Adakah tekanan punca ketidaksuburan?

Pasangan yang menetap di bandar selalunya berada dalam keadaan tertekan kerana ramai antara mereka mempunyai dua atau tiga pekerjaan bagi menampung kos kehidupan yang tinggi, kata Azirawaty.

Beliau menambah, kepenatan boleh menyebabkan rahim wanita ‘mengantuk’ (atau berfungsi dengan lemah).

Keadaan tertekan juga menghasilkan hormon yang tidak seimbang dalam wanita, dan boleh membawa kepada kitaran haid yang tidak teratur.

Azirawaty juga menasihatkan pasangan untuk mengubah gaya hidup mereka jika ketidaksuburan mereka disebabkan oleh tabiat yang tidak sihat dan penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes.

Obesiti juga boleh menjejaskan kualiti telur dan sperma, katanya sambil menambah bahawa pasangan harus berusaha untuk mendapatkan Indeks Jisim Tubuh (IBM) yang normal.

Beliau mencadangkan senaman yang kerap untuk meningkatkan peredaran darah ke pelbagai organ dan juga menghasilkan hormon serotonin. Tahap normal serotonin dalam tubuh boleh membuatkan seseorang berasa lebih bahagia dan kurang cemas.

Tags
Show More

Related Articles

Check Also

Close