AntarabangsaIsu Semasa

Krisis Kemanusiaan Akan Bertambah Buruk Pada 2018

Krisis kemanusiaan di seluruh dunia dijangka akan menjadi lebih buruk pada tahun depan susulan peperangan saudara yang masih aktif berlaku di Afrika, kekurangan bekalan makanan di rantau-rantau bergolak dan juga ancaman kumpulan pengganas, menurut laporan ACAPS.

ACAPS, sebuah organisasi bukan keuntungan yang berpangkalan di Geneva telah melakukan pemeriksaan mengenai perkara-perkara yang diperlukan oleh 18 buah negara mejelang tahun 2018.

“Sekiranya 2017 tidak baik, ramalan bagi tahun 2018 juga tidak bertambah baik: keganasan dan ketidaktentuan cenderung untuk bertambah buruk di Afghanistan, Republik Demokratik Kongo (DRC), Libya, Ethiopia, Mali, Somalia dan Syria pada tahun depan,” kata Pengarah ACAPS, Lars Peter di dalam laporan yang bertajuk “Humanitarian Overview: An analysis of key crises into 2018.”

Menurut agensi berita Channel News Asia, laporan tersebut turut menambah bahawa pada tahun depan, Ethiopia akan menjadi sebuah negara yang berisiko untuk mengharungi kekurangan makanan.kebuluran, seperti yang sedang dilalui oleh timur laut Nigeria, Somalia, Selatan Sudan, dan Yaman.

Prospek pilihan raya di Afghanistan, Iraq, Libya, Selatan Sudan dan Venezuela juga dijangka akan meningkatkan lagi ketegangan dan keganasan berbanding membawa kestabilan.

Dalam pada itu, ekstremisme juga dijangka akan terus mencetuskan konflik dan kematian.

Walaupun militan IS telah tewas di kubu kuat utama mereka di Iraq, kumpulan tersebut dijangka akan tetap ‘menaik taraf’ serangan mereka di seluruh negara itu untuk menggugat kestabilan kerajaan, selain daripada meraih kuasa dan sumber di selatan Libya.

Kumpulan pengganas itu juga mungkin akan mengukuhkan lagi kedudukan mereka di wilayah Puntland, Somalia, dengan bertempur bersama pesaing mereka di kawasan itu, iaitu kumpulan Al Shabaab.

Selain itu, puak-puak bersenjata juga akan mengambil kesempatan terhadap penarikan diri tentera kerajaan daripada pusat Mali, dengan merekrut lebih ramai ahli dan meluaskan pengaruh mereka.

Di Afghanistan pula, Taliban akan menggabungkan kubu kuat mereka di kawasan pedalaman dan meningkatkan hasil ‘pendapatan’ mereka dengan pengeluaran candu.

Perpecahan kumpulan-kumpulan bersenjata di Republik Afrika Tengah pula dijangka akan memburukkan lagi keganasan di sana, di mana lebih ramai pelarian akan dihantar ke Cameroon dan DRC.

Presiden DRC, Joseph Kabila pula kemungkinan besar tidak akan meletak jawatan sehingga tahun 2019, sekali gus meningkatkan lagi kemarahan rakyat tempatan dan boleh mencetuskan demonstrasi ganas.

“Kumpulan-kumpulan militia yang sebelum ini memberi tumpuan terhadap keluhan penduduk tempatan cenderung untuk menjadi lebih kecewa oleh keadaan negara, politik, dan sosio ekonomi dan kemungkinan besar akan meningkatkan keganasan, khususnya ke atas institusi serta pasukan keselamatan kerajaan,” ujar laporan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button