AntarabangsaIsu Semasa

Usahawan Wanita Arab Saudi Meningkat 35%

Jumlah usahawan wanita di Arab Saudi telah menyaksikan peningkatan yang dianggap ‘luar biasa’, iaitu sebanyak 35% sejak 10 tahun dahulu.

Berdasarkan statistik rasmi yang dibentangkan untuk Hari Keusahawanan Sedunia, jumlah usahawan wanita di negara itu meningkat dengan drastik daripada 4% kepada 39% dalam tempoh tahun 2007 sehingga 2017.

Peningkatan ini merupakan hasil daripada sokongan padu yang diberikan oleh pihak kerajaan dan juga swasta.

Pada 25 November, Prince Mohammad Bin Salman College of Business and Entrepreneurship (MBSC) dengan kerjasama pelbagai pihak telah menganjurkan aktiviti-aktiviti keusahawanan dengan menyediakan seminar dan kuliah untuk memperkasakan golongan wanita di seluruh dunia.

Memetik laporan Arab News, Dekan MBSC, Dr. Nabil Kushak menyatakan bahawa menyokong dan menggalakkan kreativiti usahawan-usahawan wanita akan menyumbang kepada pembangunan kitaran ekonomi serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang menarik dan mampan.

“Peranan wanita dalam persekitaran (bidang) perniagaan dan kewangan merupakan bahagian penting dalam visi kami, dan ia juga menjadi arah penting dalam tanggungjawab kami kepada negara.

“Kami bermatlamat untuk mengukuhkan peranan kami bukan hanya sebagai kolej pendidikan tinggi swasta, tetapi juga sebagai platform untuk peluang idea dan komersial yang tersedia untuk masyarakat,” kata Dr. Kushak.

Dalam pada itu, Sarah Al-Ayed, duta Hari Usahawan Wanita di Timur Tengah dan Afrika Utara turut membentangkan inisiatif-inisiatif serta program-program di bawah Hari Keusahawanan Dunia.

Beliau berkata, manfaat dan peluang yang diberikan kepada usahawan, khususnya wanita merupakan satu perkara yang sangat hebat.

“Wanita telah membuktikan kewujudan mereka di pasaran. Mereka amat boleh dipercayai,” katanya.

Sarah turut menegaskan bahawa mana-mana pihak/individu yang mengatakan golongan belia Arab Saudi tidak bekerja, perlu memahami saiz projek-projek yang dikendalikan oleh golongan muda lelaki dan wanita.

Selain itu, acara terbabit menyaksikan kehadiran lebih daripada 200 orang pelajar serta usahawan kedua-dua lelaki dan wanita.

Acara tersebut termasuk bengkel serta sesi perbincangan mengenai tujuh ciri asas yang perlu ada dalam diri seseorang untuk menjadi usahawan, iaitu motivasi, inovasi, risiko, kepimpinan, visi, fleksibiliti dan juga kebolehan membuat keputusan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close