AntarabangsaIsu Semasa

Teknologi AI Boleh “Selamatkan Nyawa Manusia”

Syarikat gergasi media sosial, Facebook Inc. telah memulakan sebuah inisiatif baru dengan menggunakan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI), iaitu memantau pengguna-pengguna laman tersebut untuk melihat jika ada di antara mereka yang menunjukkan tanda-tanda ingin membunuh diri.

Sekiranya ada, syarikat itu akan terus menghubungi perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan untuk membantu mangsa dengan segera.

“Ini adalah penggunaan baik (teknologi) AI: membantu membendung tindakan membunuh diri,” kata pengasas dan ketua pegawai eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

Memetik laporan Sky News, syarikat tersebut bakal meluaskan penggunaan perisian baru ini di peringkat global, kecuali di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Walau bagaimanapun, mereka masih belum memberi sebarang sebab mengapa langkah ini tidak akan dilaksanakan di EU.

Tetapi, ia kemungkinan besar disebabkan undang-undang perlindungan data yang ketat di EU kerana perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti cadangan tag juga tidak dibenarkan untuk dikuatkuasakan.

“Mulai hari ini (Selasa, 28 November 2017), kami sedang menaik taraf alat AI kami untuk mengenal pasti apabila seseorang meluahkan perasaan mengenai bunuh diri di Facebook supaya kami dapat membantu mereka mendapatkan bantuan yang mereka perlukan dengan segera,” kata Zuckerberg.

Tambah beliau, perisian baru ini juga dapat membantu pihak Facebook berhubung dengan responden pertama dengan 100 kali ganda lebih pantas.

“Dengan segala kebimbangan mengenai bahaya (penggunaan) AI pada masa hadapan, adalah baik untuk mengingatkan diri kita bahawa AI sebenarnya membantu menyelamatkan nyawa orang pada hari ini.

“Masih terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk memperbaikinya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zuckerberg turut menyatakan bahawa peralatan AI pada masa kini selalunya menggunakan sistem pengenalan corak untuk mengenal pasti isyarat, seperti komen-komen yang bertanyakan sama ada seseorang itu ‘ok’ atau tidak.

Sekiranya tidak, sistem tersebut akan melaporkan masalah berkenaan kepada pasukan kecemasan yang bersiap sedia 24 jam di seluruh dunia untuk membantu mangsa dengan segera.

“Tetapi pada masa hadapan, AI akan mampu memahami bahasa-bahasa yang lebih halus, dan ia juga akan mampu mengenal pasti masalah-masalah selain bunuh diri, termasuk mengesan dengan pantas tindakan membuli dan kebencian,” tegas pengasas Facebook itu.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker