AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Duterte Berdarah Keturunan Islam?

Pada hari Isnin, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berikrar untuk membetulkan “ketidakadilan sejarah” ketika menyampaikan ucapan kepada kumpulan pemberontak Islam di Mindanao.

Pentadbirannya juga berhasrat untuk ‘menghidupkan’ semula rundingan damai bersama kumpulan itu yang telah tertangguh.

Memetik laporan Straits Times, beliau menyatakan ikrar tersebut dalam sebuah perhimpunan yang dianjurkan oleh Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), di mana acara itu turut menyaksikan penglibatan orang-orang Kristian dan Islam dari pelbagai puak yang berlainan.

 

TUNTUTAN AUTONOMI/KEMERDEKAAN

Sejak tahun 1970an, penduduk Islam telah berjuang untuk menuntut autonomi atau kemerdekaan di wilayah selatan negara itu yang mempunyai majoriti penduduk Katolik, kerana menganggap ia sebagai tanah warisan mereka.

Namun, konflik tersebut telah mengorbankan lebih daripada 120,000 nyawa dan juga menyebabkan sebahagian besar kawasan di Mindanao mengalami kemiskinan.

 

DUTERTE BERDARAH KETURUNAN MUSLIM

Dalam pada itu, Duterte turut mengakui bahawa beliau berdarah keturunan Muslim, sambil memberi amaran bahawa wilayah tersebut akan berdepan keganasan yang lebih parah sekiranya isu ini tidak diselesaikan.

“Perkara yang penting adalah memelihara republik Filipina dan membetulkan ketidakadilan sejarah,” tegas presiden itu.

Sepanjang tempoh Filipina berada di bawah penjajahan Sepanyol dan Amerika Syarikat, Duterte menyatakan bahawa puak majoriti Kristian pada waktu itu telah mendominasi sebahagian besar wilayah Mindanao, lalu menyebabkan penduduk asal Muslim serta puak-puak yang lain terpinggir.

Tegasnya lagi, keganasan juga boleh bertambah buruk sekiranya pengikut dan penyokong kumpulan militan IS melarikan diri ke Filipina selepas kehilangan kubu kuat mereka di Timur Tengah.

 

PERJANJIAN DAMAI MILF 

Kumpulan MILF telah menandatangani sebuah perjanjian damai pada tahun 2014, dan ia sepatutnya memberi kumpulan minoriti Muslim itu hak dan kuasa untuk melaksanakan pemerintahan sendiri di beberapa bahagian di Mindanao.

Walau bagaimanapun, undang-undang yang dicadangkan untuk menguatkuasakan perjanjian itu masih tidak mendapat kelulusan Kongres.

Oleh itu, perhimpunan yang diadakan baru-baru ini bertujuan untuk mendapatkan sokongan agar undang-undang itu dapat diluluskan.

 

DUTERTE AKAN BANTU SEDAYA UPAYA

Duterte menyatakan bahawa beliau akan berusaha ke arah meluluskan undang-undang tersebut.

Malah, beliau juga akan mengadakan sidang khas Kongres supaya pemimpin-pemimpin Muslim boleh menjelaskan rancangan mereka kepada ahli-ahli dewan itu.

Namun ujarnya, perjanjian sedemikian perlu bersifat “inklusif” dan boleh diterima oleh semua kumpulan/puak di Mindanao.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker