Gaya HidupKesihatan

Bagaimana Demam Tifoid Tersebar?

Hujan lebat pada awal minggu ini telah menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa jajahan di Kelantan mula dilanda banjir.

Banjir yang berlaku akan menyebabkan sampah sarap dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air.

Sampah sarap dan sisa najis ini bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak semasa dan selepas banjir adalah seperti demam  kepialu nama lainnya demam tifoid (typhoid fever). 

Malah pada 2 November lalu, sebanyak sembilan kes demam tifoid tersebut dilaporkan berlaku di daerah Belaga, bahagian Kapit di Sarawak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, antara usaha yang telah diambil termasuk melakukan pemeriksaan dan rawatan lanjut terhadap pesakit yang dijangkit wabak berkenaan, mengenal pasti punca serta kes baharu yang dilaporkan.

 

APA ITU DEMAM KEPIALU?

Demam  kepialu adalah disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi. Ia boleh didapati  di dalam usus dan saluran darah manusia.

Memetik Mayo Clinic, seseorang boleh dijangkiti demam kepialu dengan mengambil minuman atau makanan yang dijangkiti bateria ini.

Bakteria Salmonella typhi penyebab demam kepialu

Disebabkan najis mempunyai kandungan bakteria Salmonella typhi yang tinggi, seseorang yang mengalami penyakit akut boleh mencemarkan bekalan air disekitarnya menerusi najis.

Pencemaran bekalan air seterusnya boleh mencemarkan bekalan makanan. Bakteria ini boleh bertahan selama berminggu-minggu di dalam air atau kumbahan jenis kering.

 

GEJALA-GEJALA DEMAM KEPIALU

Gejala demam kepialu biasanya mula muncul seminggu atau dua minggu selepas seseorang dijangkiti bakteria Salmonella typhi.

Menurut National Health Services, antara gejala-gejala yang kerap berlaku apabila seseorang menghidap demam kepialu adalah:

  • suhu tubuh yang tinggi, sehinggakan boleh mencecah 39-40C (103-104F)
  • sakit kepala
  • sakit otot
  • sakit perut
  • berasa loya
  • hilang selera makan
  • sembelit atau cirit-birit (sembelit cenderung dihadapi orang dewasa manakala kanak-kanak pula cenderung mendapat cirit-birit)
  • ruam yang terdiri daripada bintik merah jambu kecil di di torso badan.
  • mudah keletihan
  • sering keliru, seseorang mungkin tidak mengetahui di mana dia sedang berada atau apa yang sedang berlaku ketika itu.

 

MERAWAT DEMAM KEPIALU

Satu-satunya rawatan yang berkesan adalah dengan mengambil antibiotik. Antara antibiotik  yang paling biasa digunakan adalah Ciprofloxacin (tidak boleh diambil individu sedang hamil) dan ceftriaxone lapor Medical News Today.

Seperti penyakit lain yang disebabkan jangkitan bakteria, masalah rintangan antibiotik (di mana bakteria menjadi kebal terhadap antibiotik) sedang memberi kesan terhadap barisan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat demam kepialu.

Beberapa tahun kebelakangan ini, demam kepialu telah mempunyai ketahanan terhadap antibiotik seperti trimethoprim-sulfamethoxazole dan ampicillin.

Ciprofloxacin, juga sedang berhadapan masalah yang sama.

Terdapat kajian yang menunjukkan kadar rintangan Salmonella typhimurium kini adalah di sekitar 35 peratus.

Terang Mayo Clinic kaedah rawatan lain termasuklah:

  • Kerap minum air. Ini membantu mengelakkan dehidrasi disebabkan demam yang berpanjangan dan cirit-birit.

Sekiranya anda mengalami dehidrasi yang teruk, anda mungkin perlu menerima cecair melalui vena (intravena).

  • Pembedahan. Jika usus anda didapati berlubang akibat demam ini, anda perlu dibedah untuk membaiki lubang tersebut.

 

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

Pengambilan vaksin disyorkan jika anda merancang untuk pergi ke kawasan di mana kemungkinan untuk dijangkiti demam kepialu adalah tinggi (sebagai contoh India, Indonesia dan Pakistan)

Jenis-jenis vaksin

  • Vaksin diberi menerusi suntikan: Kandungan sebanyak 1 dos, sekali. Ia perlu diambil seminggu sebelum perjalanan.
  • Vaksin diberi menerusi pengambilan kapsul: 4 biji kapsul perlu dimakan pada kadar satu kapsul selang satu hari.

Kedua-dua vaksin jenis ini tidak boleh mengelakkan seseorang dijangkiti demam kepialu secara 100%.

Kedua-duanya juga memerlukan imunisasi ulangan, hal ini kerana keberkesanan vaksin akan berkurang selari dengan peredaran masa.

Disebabkan pengunaan vaksin tidak dapat memberikan perlindungan yang lengkap, anda perlu ikuti garis panduan ini apabila merancang untuk pergi ke kawasan-kawasan yang berisiko tinggi untuk menghidap demam kepialu:

  • Cuci tangan dengan kerap. Basuh tangan dengan kerap dalam air panas, serta gunakan sabun untuk mengawal jangkitan.

Basuh tangan sebelum makan dan sebelum menyediakan makanan serta selepas menggunakan tandas.

Sentiasa bawa pembasmi kuman berasaskan alkohol terutamanya apabila sumber air sukar didapati.

  • Elakkan minum air yang tidak dirawat. Air minuman yang tercemar adalah penyebab utama penyebaran demam kepialu.

 Atas sebab itu, hanya minum air yang dibotolkan atau yang ditinkan.

Minta minuman tanpa ais. Apabila memberus gigi gunakan air botol, dan cuba untuk tidak menelan air ketika mandi.

  • Elakkan memakan buah dan sayuran mentah. Oleh kerana hasil mentah mungkin telah dibasuh dalam sumber air yang tercemar, elakkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak boleh dikupas, terutamanya ulam-ulaman.

Untuk mencegah dijangkiti penyakit ini, anda mungkin mahu mengelakkan makanan mentah sepenuhnya.

  • Pilih makanan panas. Elakkan makanan yang disimpan atau dihidangkan pada suhu bilik. Makanan yang dihidangkan panas-panas adalah yang terbaik.

Walaupun belum tentu lagi makanan yang disajikan di restoran mewah  adalah selamat,  langkah yang terbaik adalah untuk mengelakkan membeli  makanan daripada gerai-gerai di jalanan kerana ia lebih mudah tercemar daripada makanan yang dihidangkan di restoran.

Tags
Show More

Related Articles