Bisnes & Ekonomi

Pakaian Dari H&M Dibakar Untuk Menjana Kuasa?

Tindakan membakar pakaian yang dibuang dari rangkaian kedai Hennes & Mauritz AB (H&M) sedang membantu pusat jana kuasa Sweden menggantikan pengunaan arang batu untuk selama-lamanya.

PERTUKARAN KE PUSAT JANA KUASA BEBAS BAHAN API FOSIL

Malarenergi AB, sebuah pusat jana haba dan kuasa yang terletak di Vasteras, barat laut Stockholm, sedang secara beransur-ansur menukar sumber tenaga yang sedang digunakan kini (iaitu minyak dan arang batu) supaya boleh menjadi sebuah pusat jana kuasa bebas bahan api fosil menjelang tahun 2020 lapor Bloomberg.

Hal ini bermaksud mereka akan menghasilkan tenaga yang dihasilkan daripada membakar kayu yang telah dikitar semula, sampah sarap malahan pakaian H&M yang tidak boleh dijual, namun bukan minyak dan arang batu.

“Bagi kami  pakaian-pakaian ini merupakan bahan yang boleh dibakar,” kata Jens Neren, ketua sumber bahan bakar di Malarenergi AB.

Terletak kira-kira 100 kilometer dari Stockholm, ia merupakan sebuah pusat utiliti yang memiliki dan mengendalikan loji yang berusia 54 tahun “Matlamat utama kami adalah untuk menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui serta yang telah dikitar semula,” ujar Neren lagi.

SWEDEN MENGGUNAKAN SISTEM TENAGA BEBAS EMISI

Sweden berbangga ia kini menggunakan sistem tenaga bebas emisi sepenuhnya (bebas emisi bermaksud enjin, motor, proses dan sumber tenaga lain yang tidak mencemarkan alam sekitar atau mengganggu iklim)

Hal ini adalah disebabkan kebanyakan kawasannya menggunakan fasiliti jana kuasa hidro, nuklear dan angin. Namun begitu, beberapa majlis perbandaran tempatan masih menggunakan arang batu dan minyak untuk memanaskan kediaman dan pejabat semasa musim sejuk.

Dengan menukarkan loji –loji sedia ada untuk menjadi pusat membakar bahan api bio dan sampah, menjelang akhir dekad ini, pusat ekonomi Nordik terbesar ini berharap dapat menghabiskan sumber bahan api fosilnya.

Malarenergi telah membuat perjanjian dengan bandar raya berdekatan, iaitu Eskilstuna untuk membakar sampah mereka. Sesetengah daripada sampah itu datang dari gudang utama H&M yang terletak di bandar yang sama.

Serombong asap pusat jana kuasa

Sampah itu pada mulanya tidak dinyatakan sebagai pakaian sehingga berita tentangnya ditampilkan dalam program televisyen kebangsaan Sweden pada hari Selasa yang lalu.

TIDAK SEMUA PAKAIAN AKAN DIBAKAR

“H&M tidaklah membakar pakaian yang selamat untuk digunakan,” kata Johanna Dahl, ketua komunikasi H&M di Sweden, menerusi e-mel.

“Walaubagaimanapun, kami mempunyai kewajipan undang-undang tentang pakaian yang mempunyai kulat atau tidak mematuhi peraturan tentang penggunaan bahan kimia. Pakaian-pakaian yang sebegini haruslah dimusnahkan.

Setakat ini pada tahun 2017,  kira-kira 15 tan pakaian yang dibuang dari H&M telah dibakar, berbanding dengan kira-kira 400,000 tan sampah, kata Neren.

Malarenergi ada berurusan dengan beberapa bandar yang terletak berdekatan untuk mengambil sampah  daripada mereka dan juga mengimport sisa dari Britain untuk menjadikannya sumber tenaga kepada dandang utamanya.

Pada era kemuncaknya,  pada tahun 1996, kemudahan yang membekalkan kuasa kepada kira-kira 150,000 isi rumah ini, telah membakar sejumlah 650,000 tan arang batu.

Peniaga kini lebih sedar kesan penggunaan tenaga boleh diperbaharui kepada alam sekitar

SUMBER ARANG BATU BAKAL DIGANTI PADA TAHUN 2020

Pada hari Selasa lalu, kapal yang membawa bekalan arang batu terakhir telah berlabuh di Vasteras untuk membekalkan dua penjana kuasa dari era 60-an yang bergantung kepada bahan bakar fosil dengan bekalan arang batu yang mencukupi sehingga tahun 2020.

Ketika itu jugalah,  dandang kayu yang baru akan dibina untuk ditambah kepada unit pembakaran bahan bakar bio dan sampah sarap yang sedia ada.

Tags
Show More

Related Articles