FesyenGaya Hidup

Aksesori Manual Hidupkan Gaya Lelaki

Pendatang baru dalam industri fesyen lelaki, Shazwan Radzuan atau lebih dikenali sebagai Shark, percaya bahawa setiap lelaki mahu kelihatan bergaya. Dengan pilihan aksesori yang betul, gaya pakaian seseorang lelaki boleh diubah sepenuhnya.

“Lelaki akan kelihatan segak jika memakai sesuatu yang sesuai dengan gaya dan keperibadian mereka,” kata Shark, 31, yang baru sahaja melancarkan jenama aksesori lelaki yang diberi nama Manual.

Manual ialah sebuah jenama gaya hidup yang memfokuskan kepada aksesori lelaki seperti sapu tangan poket, tali leher, cermin mata hitam, gelang dan cincin.

Shark Radzuan bersama koleksi gelang lelaki

Shark yang merupakan seorang graduan jurusan Pengurusan Pelancongan di Universiti Teknologi Mara, bekerja di sebuah syarikat pemasaran dan pengiklanan selepas tamat pengajian, tulis Star2.

Pada tahun 2013, Shark melancarkan syarikat sendiri bernama Viper Bekam, yang menyediakan rawatan kecantikan dan kesihatan, termasuk terapi bekam. Beliau juga memperkenalkan satu jenama penjagaan kulit yang dipanggil POREcelain.

April lalu, Shark mula melancarkan Manual dengan produk pertamanya yang dipanggil Pochette Pocket Square Baju Melayu Edition. Tersedia dalam pelbagai warna dan reka bentuk, sapu tangan poket yang melengkapkan Baju Melayu, menerima sambutan yang baik dengan 200 keping dijual dalam masa tiga minggu semasa bulan Ramadan.

Menurut Shark yang mempromosikan Manual melalui platform dalam talian Facebook dan Instagram (@manualkl), permintaan terhadap aksesori lelaki cenderung lebih tinggi semasa musim perayaan seperti Hari Raya.

Manual kemudian mengeluarkan koleksi gelang yang diperbuat daripada tali parachute. Shark memilih tali parachute sebagai bahan kerana fleksibilitinya dan juga mempunyai pelbagai pilihan warna atau reka bentuk.

Untuk sambutan Merdeka baru-baru ini, Shark memberi penghormatan kepada bendera Jalur Gemilang dengan Edisi Gelang Patriot Manual yang terhad kepada 50 keping.

Gelang itu dihasilkan dengan dandanan yang ringkas bersama tali besi. Shark sangat terperinci dalam memilih reka bentuk yang tepat untuk gelang rekaannya. Kebanyakan daripada koleksinya berbentuk mudah tetapi masih bergaya apabila dipakai.

Shark belajar cara membuat dandanan dari YouTube dan pada masa yang sama, memikirkan jenis dandanan lain yang sesuai dengan keperluan fesyen rakyat Malaysia dan merancang untuk bekerjasama dengan pereka pakaian lelaki lain di Malaysia.

Shark juga bercadang untuk menghasilkan gelang logam untuk koleksi yang akan datang. Selain gelang, koleksi cincin yang dipanggil Lourd juga mempunyai konsep reka bentuk yang sama seperti gelangnya.

Tags
Show More

Related Articles