AntarabangsaIsu Semasa

Golongan Materialistik Lebih Aktif Di Facebook

Kajian terbaharu yang dilakukan oleh Universiti Ruhr, Bochum, Jerman mendapati golongan yang materialistik menjadikan Facebook sebagai medium untuk mereka mencapai matlamat masing-masing.

Ini dapat dilihat melalui tindakan membandingkan diri mereka dengan orang lain dan menjadikan rakan-rakan dalam media sosial berkenaan sebagai ‘objek digital’.

Kajian tersebut melibatkan ratusan pengguna Facebook meliputi aktiviti media sosial, kecenderungan terhadap kebendaan selain mempergunakan dan menjadikan rakan dalam media sosial itu sebagai alat.

Para penyelidik mendapati golongan yang materialistik lebih kerap menggunakan Facebook berbanding golongan lain sebagai salah satu cara mencapai matlamat mereka dan merasa bangga dengan diri sendiri.

“Golongan ini menggunakan Facebook lebih kerap kerana mereka cenderung mempergunakan rakan dalam media sosial itu selain memperoleh rakan dari media itu untuk meningkatkan penguasaan masing-masing,” kata ketua kajian, Phillip Ozimek dari universiti berkenaan.

Menurut beliau, Facebook merupakan platform paling sempurna untuk perbandingan sosial kerana mempunyai berjuta-juta profil dan maklumat tentang orang ramai.

“Ia adalah percuma, golongan materialistik suka kepada perkara yang tidak melibatkan wang,” katanya yang dilaporkan portal Independent.

Dalam kajian itu, responden akan ditanya sama ada setuju dengan kenyataan seperti ‘saya memuat naik gambar’, ‘saya sering membandingkan sejauh mana diri saya secara sosial’ dan ‘pada tahap manakah rakan Facebook berguna untuk mencapai matlamat kamu’.

Maklum balas yang diterima menunjukkan kumpulan yang materialistik lebih cenderung membandingkan kehidupan mereka dengan orang lain.

Mereka juga mempunyai ramai rakan Facebook dan sering mempergunakan mereka selain menggunakan media sosial itu untuk merasa bangga dan membantu mereka mencapai matlamat namun ada juga yang menggunakan media sosial itu bagi tujuan jahat.

Kata Ozimek, Facebook boleh diibaratkan sebilah pisau yang mampu digunakan untuk menyediakan makanan lazat tetapi pada masa yang sama boleh digunakan untuk menyakitkan orang lain.

Kajian yang diterbitkan dalam Heliyon itu juga mendapati bahawa golongan materialistik mempunyai keperluan yang lebih besar untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain di beberapa platform media sosial yang lain seperti Instagram dan Twitter.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker