AntarabangsaIsu Semasa

“Penyembelih Bosnia” Terima Balasan Setimpal

Baru-baru ini, bekas komander tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic, telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Hakim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), susulan tindakannya yang melakukan pembunuhan beramai-ramai (genocide) dan jenayah perang di dalam konflik Balkan dua dekad lalu.

Mendapat gelaran “Penyembelih Bosnia”, Mladic dilaporkan tidak berada di kamar perbicaraan untuk mendegar sendiri keputusan berkenaan, apabila beliau diheret keluar kerana tindakannya yang tidak menghormati mahkamah dengan menjerit “Hakim penipu”.

Hakim Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk bekas Yugoslavia (ICTY) mendapati Mladic bersalah atas 10 tuduhan termasuk penghapusan etnik, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan olehnya ketika peperangan yang berlangsung pada 1992 sehingga 1995.

 

RATUSAN RIBU MAUT, JUTAAN HILANG TEMPAT TINGGAL

Memetik laporan News Straits Times, peperangan tersebut telah mengorbankan kira-kira 100,000 nyawa manakala 2.2 juta orang pula kehilangan tempat tinggal.

Walau bagaimanapun, Mladic didapati tidak bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai di beberapa kawasan bandar.

“Akibat melakukan jenayah-jenayah ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Ratko Mladic,” kata Hakim Alphons Orie.

Orie turut menekankan bahawa jenayah-jenayah yang dilakukan oleh bekas komander itu merupakan antara yang paling kejam terhadap manusia.

“Keadaan sangat brutal. Mereka yang cuba mempertahankan tempat tinggal mereka telah diperlakukan dengan kejam.

“Pembunuhan besar-besaran berlaku dan segelintir mangsa maut selepas dipukul,” tambah beliau.

 

MAHU MENGHAPUSKAN UMAT ISLAM

Dalam pada itu, Orie turut menegaskan bahawa kebanyakan pesalah yang menangkap Muslim Bosnia tidak menunjukkan walaupun sedikit rasa hormat terhadap nyawa serta maruah manusia.

Keputusan yang diumumkan pada hari Rabu, 22 November 2017 itu telah lama dinantikan oleh puluhan ribu mangsa diseluruh wilayah itu.

Bukan itu sahaja, malah ramai orang berkumpul di hadapan mahkamah di The Hague pada hari tersebut dengan membawa gambar orang-orang tersayang mereka yang dibunuh, termasuk 7,000 orang yang hilang.

Menurut pendakwa raya, Mladic dan rakan seperjuangannya, Radovan Karadzic melakukan pembersihan etnik untuk menghapuskan warga Muslim Bosnia dan Croat Bosnia “secara kekal” daripada kawasan-kawasan yang dituntut oleh puak Serb.

 

DITANGKAP SELEPAS 16 TAHUN MELARIKAN DIRI

Mladic berjaya ditangkap selepas 16 tahun melarikan diri. Beliau didapati bersalah dalam melakukan pembunuhan di timur laut Srebrenica, di mana pasukan tentera di bawah arahannya telah membunuh lebih daripada 8,000 kanak-kanak dan lelaki dewasa beragama Islam.

Pembunuhan itu, yang menyaksikan mangsa diarak, ditembak di bahagian belakang dan dicampak ke kawasan kubur terbuka, merupakan peristiwa paling gelap dalam konflik berkenaan.

Ia juga digelar sebagai kekejaman terburuk yang pernah berlaku di bumi Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

“Mladic berhasrat untuk menghapuskan umat Islam Bosnia di Srebrenica dengan membunuh lelaki dan kanak-kanak lelaki dan mengusir wanita, kanak-kanak dan warga emas secara paksa,” kata Orie.

 

BALASAN YANG SETIMPAL

Selepas mengalami sekurang-kurangnya tiga serangan strok, Mladic lumpuh di seluruh bahagian kanan badannya, menurut peguam beliau, Dragan Ivetic.

Walau bagaimanapun, mangsa-mangsa menganggap bahawa sudah tiba masanya untuk Mladic dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima balasan yang setimpal di atas segala jenayah yang telah dilakukan.

“Kami memerlukan kebenaran, kami memerlukan keadilan. Tanpa keadilan, tidak ada kepercayaan, tanpa kepercayaan, tidak ada perdamaian,” kata salah seorang mangsa bernama Subasic yang pernah menyeru Mladic supaya tidak membunuh anak lelakinya.

Sementara itu, Fikret Alic, seorang mangsa yang pernah ditempatkan di kem tahanan Serb Bosnia berharap supaya hukuman terhadap Madlic ini dapat menghentikan kesengsaraan semua mangsa.

“Saya berharap keadilan akan dapat dicapai menerusi keputusan ini, supaya orang ramai (mangsa) akan tidak merana lagi. Ini akan menghantar mesej kepada seluruh dunia,” kata Alic.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker